“MAK CIK HASNAH!” Suara orang memanggil mak dengan agak kasar. Seperti tahu saja suara siapa. Tiba-tiba aku rasa sangat berdebar.
“Tengok, Borhan dah datang. Apa aku nak jawab?” Mak juga nampak keresahan.
“Mak cakap mak setuju sajalah terima dia.” Memandai mak buat keputusan. Aku mula cuak.
“Mak tutup mulut. Pandailah angah jawab nanti.”
Mujur kak ngah cepat menjawab. Dan mujur juga dia tak balik lagi. Kalau tidak, sah-sah mak terima Duda Borhan. Aci lawan apa pun mak akan ikut cakap duda tu.
Aku berdiri di tepi dinding untuk mendengar perbualan kak ngah dengan Duda Borhan. Mak pula gelisah di atas sofa.
“Apa hal ni, Abang Borhan? Datang rumah orang menjerit-jerit.”
Jadi, aku perlu terima hakikat yang kak ngah memang berani orangnya. Dia bukan saja lantang bersuara di dalam keluarga, bahkan dengan orang luar juga.
“Mana mak kau? Aku nak buat perhitungan dengan mak kau.”
“Cakap saja dengan saya. Nak cakap pasal Adah? Ya, macam yang kami beritahu pada wakil Abang Borhan. Kami tak boleh terima Abang Borhan sebab sebelum abang datang merisik, sebenarnya Khairil dulu datang merisik.” Bersahaja saja kak ngah menjawab.
“Tapi mak kau cakap lain.”
“Ah, abang jangan dengar sangat cakap mak tu. Mak sekarang ni kuat sangat merepek. Kadang kadang hilang ingatan sama.”
Aku toleh pandang mak. Wajah mak berubah. Sampai hati kak ngah cakap macam tu. Tak boleh ke cari alasan lain?
“Jadi memang betullah korang tolak pinangan aku?” Duda Borhan masih menengking.
“Macam yang kami beritahu pada wakil abang tu la.”
“Eh, korang ingat aku nak sangat ke adik korang? Mak korang tu yang terhegeh-hegeh suruh aku masuk meminang. Memang celaka betullah korang ni!”
Aku dengar Duda Borhan ke keretanya semula. Bunyi enjin kereta tinggalkan kawasan rumah membuktikan Duda Borhan sudah pergi.
“Tengok, mak. Lain kali jangan nak memandai sendiri. Bincang dulu dengan anak-anak.” Kak ngah marah mak.
“Aku nak bagi adik korang hidup senang.” Mak menjawab. Nada suara mak memang seperti orang tidak berpuas hati.
“Senang apa bendanya. Mak dah nampakkan keadaan dia macam mana? Mak tak fikir ke dia nak kahwin dengan Adah sebab nak jadikan Adah ni hamba? Mak tak nampak benda-benda macam tu sebab yang mak nampak duit dia saja.” Tak teragak kak ngah marah mak. Kalau ya pun marah, janganlah sampai macam tu sekali. Aku pun marah juga, tapi aku tak sampai hati nak keluarkan kata-kata begitu.
“Mak tu dahlah jenis penakut. Kalau mak kahwinkan Adah, mak nak tinggal dengan siapa?”
“Mak ikutlah Adah.”
“Amboi, senangnya mak bercakap. Mak ikutlah Adah…” Kak ngah ajuk cakap mak.
“Mak ingat Borhan tu nak bagi mak tinggal kat rumah dia? Aci lawan kerat jari pun angah berani jamin dia takkan benarkan. Itu mak tak fikir.” Berapi marah kak ngah.
Mak diam. Aku harap pun mak akan tutup mulut dan tak menjawab lagi. Makin kasar bahasa kak ngah. Tapi aku cukup lega satu perkara. Perkara aku dengan Khairil. Aku sudah mula nampak jalan untuk kami bersama.
Selepas tu, kak ngah siap-siap nak balik. Sebelum balik tu kak ngah siap bagi amaran pada mak.
“Jangan suka-suka buat keputusan sendiri. Nanti yang susah anak-anak jugak!”
Memang kasar amaran kak ngah tu. Tapi aku tak hairan sebab perangai dia memang begitu.
Elok kereta kak ngah hilang dari pandangan, mak long muncul. Nampak tergesa-gesa saja.
“Eh, betul ke kau tolak pinangan Borhan?” Kelam-kabut mak long tanya mak. Mak sudahlah masih panas hati. Mak long pula tokok lagi kepanasan hati mak.
“Haah.” Sepatah mak jawab, tapi sangat kasar.
“Kenapa pulak?”
“Semua tak setuju. Takut nanti dia bawak Adah. Tak ada siapa pulak nak jaga aku.” Lambat mak bercerita. Nampak benar mak kecewa.
“Tu saja alasannya? Memang bodoh.”
Sakitnya hati bila dengar mak long cakap macam tu. Bimbang juga mak long akan hasut mak.
“Tu la pasal. Geram betul aku. Kalau ikutkan aku, aku bagi saja nikah senyap-senyap, tapi takut pulak anak-anak aku yang lain mengamuk.”
“Tak apalah kalau mereka tak nak. Mereka tolak tuahlah tu. Mungkin jugak tak ada rezeki kau bermenantukan Borhan.”
Nasib baik mak long cakap macam tu.
“Jangan pulak kau memandai buat keputusan sendiri. Dah anak kau tak bagi Adah kahwin dengan Borhan, sudahlah. Ikut ajelah apa kata mereka. Jangan pasal Borhan kau dengan anak-anak kau berpatah arang pula.”
Pelik, kenapa mak long cakap macam tu? Tadi, sebaik saja nampak mak long memang aku benar-benar takut. Takut mak long hasut mak. Yang aku dengar terbalik pula. Ada apa dengan mak long ni?
“Memang betul ke kau boleh terima anak orang tu sebagai menantu? Tak ingat ke apa yang mak dia dah buat pada kau dulu?”
Dan ini memang betul-betul satu kejutan. Ada cerita apa pada masa dahulu sehingga berlarutan hingga ke hari ini?
“Tahulah apa yang aku nak buat nanti. Mungkin inilah peluang aku.”
Aku tarik nafas perlahan. Apa pun cerita masa silam, pasti mempengaruhi hubungan aku dengan Khairil di masa akan datang.
“Mungkin dah jodoh anak kau dengan anak orang tu. Nak buat macam mana lagi, kan. Terima ajelah.”
Nada suara mak long bukan memberi sokongan, tapi ada sesuatu yang mak long sembunyikan.
“Yalah. Kenalah aku ikutkan cakap anak-anak aku.”
Aku tahu, bukan sedikit rasa kecewa mak. Mak benar-benar kecewa. Tapi tak mengapa. Kecewa mak adalah bahagia buat aku.
TAK sampai esok, berita keluargaku menolak pinangan Borhan sudah tersebar luas. Rasanya sudah menjadi buah mulut penduduk kampung. Biasalah, siapa lagi yang sudi jadi tukang sebar kalau bukan mak long aku sendiri.
Seorang demi seorang jiran datang bertanyakan kebenarannya. Naik penat aku buat air. Semua nak bergosip. Sakit jiwa betul melayan.
“Masing-masing sibuk nak tahu hal orang.” Mak membebel-bebel sebaik sahaja jiran-jiran pulang. Hari pun sudah petang benar. Rasanya tak ada siapa yang bakal cari bahan lagi. Dah nak masuk maghrib pun.
Masa aku bawa dulang cawan ke singki, telefon bimbit berbunyi. Khairil? Uiks, tak pernah-pernah nak telefon aku, berani pulak telefon. Sah, dah dengar khabar angin tu. Mesti dia pun nak tahu juga sebab nama dia pun terlibat dalam kes kali ni.
“Assalamualaikum.” Dulu-dulu dia beri salam. Kelam-kabut saja bagi salam. Kenapa sayang? Aku tersenyum sendirian. Suka.
“Wa’alaikumussalam. Ya, kenapa?”
“Err, awak, ni ada sepuluh biji kelapa. Saya dah siap kupas. Ada dua bijik cempedak jugak. Buatlah goreng. Saya letak kat pokok buluh ni. Nak datang hantar depan rumah awak, nanti takut jadi fitnah. Awak ambiklah nanti.”
Tipu. Dia telefon aku bukan sebab nak bagi kelapa atau buah cempedak. Kalau betul nak bagi, esok pun boleh bagi. Ini takkan dah nak masuk maghrib sibuk hantar. Ada ketam di balik batu. Kalau tak ada pasal, tak naknya ketam duduk balik batu.
“Terima kasih, awak. Nanti saya ambil.” Aku bermanis kata.
“Err, apa kata abang dengan kakak-kakak awak?”
Kan aku dah cakap. Ada benda yang tak sabar dia nak dengar. Enam bulan kut dia tunggu. Mana kawan tu tak sabar.
“Apa yang awak dengar?” Aku berteka teki.
“Saya tak suka dengar dari mulut orang. Saya nak dengar dari mulut awak sendiri. Mulut orang kadang-kadang lebih kepada khabar angin. Nak cari yang betul memang susah.”
Itulah Khairil yang aku kenal. Tak suka pada khabar angin.
“Nampaknya awak kenalah sedia. Mereka macam terima saja pinangan awak.”
“Ya? Alhamdulillah…”
Aku dengar dia kegirangan. Silap hari bulan, mahu melompat tu.
“Awak dah sedia ke nak pikul tanggungjawab sebagai seorang suami?” Saja tanya. Bagi dia takut sikit.
“Lebih dari sedia.”
“Tapi awak kena faham keluarga saya macam mana. Awak dah sedia ke nak dengar kata- kata kesat mereka?”
“Untuk jadi suami awak, saya sanggup dengar apa saja. Saya sudah cukup bersedia.”
“Belum dapat memanglah janjinya melangit. Bila dah dapat macam-macam bunyi.” “Tidaklah begitu. Cuma…”
“Cuma apa?”
Aku memang tak suka kalau ada ayat menggunakan perkataan cuma. Cuma tu bunyinya hendak memberi alasan.
“Saya risau awak saja. Sudi ke awak terima saya? Maklum, saya ni apalah yang ada. Tak layak untuk awak.”
“Kalau rasa tak layak kenapa masuk meminang?” Eh, banyak songeh pulak. Orang dah terima, naik mengada-ada dia.
“Saya mencuba nasib saja. Manalah tahu ada jodoh kita.”
“Kalau awak sanggup terima saya seadanya, saya juga sedia terima awak seadanya. Saya pun sedar diri saya. Siapalah saya. Tak layak jugak nak bertempat di hati awak.” Sesekali main drama seronok juga.
“Awak, jangan cakap macam tu. Awaklah yang paling layak untuk menemani hidup saya.”
Kelam-kabut dia bercakap. Tahu pulak terasa. Tiba-tiba aku dengar mak panggil aku.
“Awak, mak saya dah panggil tu.”
“Yalah. Awak, kejap.”
“Ya?”
“Terima kasih sudi terima saya.”
Aku tak tahu nak cakap apa, segan. Cepat- cepat aku matikan panggilan dan segera dapatkan mak.
“Bersembang dengan siapa sampai mak panggil pun tak dengar?” Mak jegil aku.
“Dengan Khairil. Khairil cakap dia ada bagi cempedak dengan kelapa.” Kalau aku sebut Khairil tanpa berserta alasan, sah-sah mak maki hamun.
“Cempedak masak?” Lembut mak bertanya. Aku angguk. Pandai Khairil umpan dengan buah cempedak.
“Mana cempedaknya? Lama mak tak makan cempedak.” Mak tak jadi nak marah sebaliknya nampak suka bila aku sebut buah cempedak. Tu la pasal. Dulu dah elok pokok cempedak tumbuh tepi rumah. Mak tebang sebab nak bagi senang anak-anak letak kereta. Kalau tidak, kenyang makan cempedak.
“Dia tinggal kat pokok buluh. Nak hantar depan rumah takut orang mengata nanti.”
“Pergilah ambil. Tak ada siapa yang nak mengata kalau bab sedekah.” Laju saja mak suruh aku ambil. Yalah, sebab buah cempedak saja. Kalau tak ada benda, dulu-dulu mak bertempik.
Langkah aku atur menuju pintu. Kemudian berjalan menuju rumpun buluh. Rupanya Khairil masih menunggu di situ. Dia tersenyum manis.
Ah! Huru-hara perasaanku jadinya.
“Cukup ke dua biji saja?” Khairil bertanya ketika aku menghampirinya.
“Tak cukup saya minta lagi. Bukannya jauh pun rumah bakal suami saya.” Aku senyum. Nampak Khairil senyum sama. Sebab aku sebut bakal suami saya ke tu senyum serupa dah sampai ke kaki?
“Rasanya kalau ambil sendiri kat rumah bakal suami tu seguni pun boleh dapat.” Dia jeling pula.
“Melampaulah tu.”
“Melampau apa pulak. Kalau nak, ambil saja. Tak payah nak beritahu saya. Semua awak punya juga.”
“Ingat saya nak awak sebab pokok buah- buahan awak ke?”
“Eh, saya tak fikir macam tu pun. Saya tau awak bukan orang jenis begitu sebab tu saya suka dengan awak. Rasanya hanya awak saja yang sudi pandang saya. Siapalah saya ni kan.”
“Main drama pulak dia. Saya terima awak sebab saya tau awak akan jaga saya dengan baik. Saya boleh menumpang teduh.”
“Insya-ALLAH, saya akan berusaha untuk membahagiakan awak. Saya balik dulu. Kalau orang kampung nampak kita macam ni kecoh pulak nanti.”
“Memang pun. Kalau kita kecoh saja. Kalau orang lain tu sampai mengandung duluan senyap saja. Tak pulak bisingnya.”
“Orang lain, kita lain.”
Aku tak balas. Tiba-tiba saja rasa sakit hati. Kalau pasal aku, memang cepat kecoh. Kalau orang lain, tak berbunyi langsung.
“Assalamualaikum.” Khairil beri salam.
“Wa’alaikumussalam.”
Aku perhatikan saja Khairil hingga dia hilang dari pandangan. Bawa buah cempedak dan terus ke rumah. Buah kelapa pula aku tinggalkan saja di situ. Nak masak nanti baru aku bawa balik ke rumah.
“Lambatnya kamu ambik buah cempedak. Ambik ke kamu kait kat rumah Khairil? Ke kamu buat apa dengan Khairil?”
Elok sampai rumah mak sambut dengan marah-marah.
“Buat apa?”
“Kamu jangan sampai memalukan keluarga. Jangan jadi macam…”
“Jangan sebut aib anak orang, mak. Mak ada anak perempuan yang tak lepas lagi. Mak ada cucu perempuan.” Aku cuba ingatkan mak. Memang aku tak suka kalau aib anak orang jadi perbandingan.
“Mak nak ingatkan saja.”
“Insya-ALLAH. Saya kenal dosa pahala.”
Aku terus ke bilik air. Nak mandi. Kejap lagi masuk maghrib. Mak terus makan buah cempedak.
Lepas keluar bilik air, azan mula berkumandang.
Entah kenapa maghrib kali ni, azan aku dengar sayup-sayup saja. Sedap pulak suara dia kali ni. Merdu saja. Mungkin tu suara azan orang yang sedang senang hati. Hati yang sudah dimiliki.
“Mak, sudah tu. Jangan makan banyak sangat. Takut angin.” Aku ingatkan mak. Dah azan maghrib pun makan cempedak lagi.
“Yang sakit mak, bukan kamu.”
Ya, yang sakit mak. Karang yang susah aku. Semakin tua, mak semakin degil. Susah nak ditegur. Tapi aku biarkan aje.
BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL TENTANG LARA HATI (PENULIS: NUEEN)