Tentang Lara Hati – Bab 4

SEBULAN lepas meminang, majlis kahwin Shidah dengan Duda Borhan dilangsungkan. Nampak sangat kelam-kabut dan tergesa-gesa nak buat majlis. Kalau anak orang lain, sah dah lama kena kata macam-macam dengan mak long.

Sebenarnya ada dua kemungkinan. Pertama mak long takut Duda Borhan ubah fikiran dan pilih anak dara lain. Kedua sebab Duda Borhan tak sabar nak buat Shidah orang gaji. Apa pun, dua-dua alasan tak ada kena-mengena dengan aku. Jadi, aku tak payahlah nak fikir yang buruk-buruk.

Aku pakai biasa-biasa saja. Kupas bawang saja kut. Bedak pun aku tak pakai. Nanti fitnah macam-macam pula. Penat telinga nak dengar. Setakat dengar aku tak kisah. Takut ada yang jadi tukang sampai kepada kakak-kakakku nanti.

“Kirim salam pada mak long. Cakap mak sakit kaki, tak dapat datang. Mak datang esok sajalah.”

Aku tahu itu hanya alasan. Mak tak sakit kaki pun. Tapi memang sengaja tidak mahu ke majlis rewang. Mak malu. Sepatutnya aku yang nikah dengan Duda Borhan tapi sebaliknya sepupu aku yang dapat.

“Yalah,” jawabku perlahan. Aku keluar rumah dan ambil basikal selepas itu. Pisau kecil aku balut kemas dengan kertas surat khabar kemudian letak dalam bakul basikal.

Mula mengayuh basikal menuju rumah mak saudaraku yang terletak tidak jauh dari rumah mak. Kira yang bakal nikah ni adalah sepupu aku sendiri. Sebaya denganku. Juga anak bongsu.

“Assalamualaikum.” Basikal aku tongkat berhampiran tempat jiran tetangga yang sedang bergotong-royong untuk majlis rewang sebaik sahaja sampai. Sempat juga menjeling Khairil yang sedang melapah daging.

Tiba-tiba dia senyum. Tapi bukan pada aku, senyum pada daging. Macam bahagia saja bakal encik suami tu. Mana tak bahagia. Majlis bertunang kami bakal berlangsung dua minggu lagi. Sekarang ini Khairil sedang sibuk dengan persediaan untuk majlis.

Kesian juga tengok dia. Nasib baik dia masih ada mak-mak saudara yang mahu membantu. Sekurang-kurangnya dia tak buat sorang-sorang.

“Mana mak kamu, Adah?” Awal-awal lagi orang sudah bertanyakan pasal mak.

“Mak sakit kaki.” Terpaksalah aku berbohong.

“Gout dia datang lagilah tu. Ada salah makan ke?”

“Tak tahulah. Semalam ada masak rebung.” Memang betul semalam aku masak rebung. Tapi mak tak sakit apa-apa pula. Mak juga yang minta aku masakkan dia masak lemak rebung. Aku dah ingatkan orang ada gout tak boleh makan rebung, tapi mak makan tak ingat dunia. Mujur tak jadi apa- apa.

“Padanlah. Kalau gout mana boleh makan rebung.”

“Dah mak nak makan. Tak boleh nak cakap apa. Nanti saya jugak yang kena.”

“Memang betul pun. Bukan kita tak kenal dengan Kak Hasnah. Dia kalau nak makan, mana kira penyakit.”

Aku tolong kupas bawang. Jiran-jiran lain sambung bercerita tentang penyakit gout. Makan itulah, makan inilah. Aku buat tak dengar. Sesekali aku jeling Khairil yang sedang tekun dengan kerja- kerja melapah daging kerbau.

Segaknya bakal encik suami.

Tiba-tiba dia angkat muka dan terus pandang aku. Cepat-cepat aku pandang bawang. Seperti ada sesuatu yang membuatkan jantungku bergerak dengan laju. Tapi terasa sangat menyenangkan.

“Eh, Adah betul ke kau jadi dengan Khairil?” soal Mak Cik Sofi, salah seorang jiran tetangga yang aktif juga bila ada kenduri-kendara. Dia datang bawa pinggan yang penuh berisi kuih. Ada koci, ada talam ubi kayu dan agar-agar pelangi.

“Insya-ALLAH.” Aku menjawab sepatah. Tak tahu nak cakap lebih-lebih sebab aku sedang berusaha untuk tenteramkan jantungku.

“Jangan memilih sangat. Nanti jadi anak dara tua tak laku. Tak kisahlah kahwin dengan penoreh getah pun. Janji ada laki.” Mak long tiba- tiba menyampuk. Dia kalut bawa periuk pengukus.

Dengar saja apa orang bercakap. Aku ada cakap aku tolak Khairil ke?

Kenapa aku rasa cara mak long sekarang macam angkuh sikit? Dia hanya pandang duit Borhan saja, tapi dia lupa anak Borhan yang lima orang tu.

“Tak memilih pun, mak long.” Aku menjawab. Memang aku tunggu Khairil pun. Dah lama aku tunggu dia.

Aku angkat muka sedikit. Jeling lagi bakal encik suami. Rupanya dia masih perhatikan aku. Kemudian dia senyum. Cepat aku balas dan tunduk semula. Bahagianya.

“Adah, tolong isi telur kejap. Tak ada orang nak buat ni,” kata Kak Mie, anak mak long nombor tiga. Cepat aku bungkus semula pisauku dan bangun. Melangkah masuk ke rumah mak long.

“Tak ada siapa nak isi bunga telur ni,” kata Kak Mie lagi.

Aku perhatikan ruang tamu. Sudah mula dihias dengan cantik. Pelamin juga tersergam indah. Entah berapa ribulah mak long berhabis untuk semua ni.

Aku pandang pula sekumpulan anak dara di tengah ruang tamu. Di situ Maiza pun ada sama. Dia ni memang. Ada saja kat mana-mana.

“Meriah kan majlis Shidah? Kau rasa majlis kau dengan Khairil nanti meriah macam ni tak?” Maiza dah mula.

“Kami buat sederhana saja. Ikut kemampuan.”

“Hurm, rugi betul kau kan. Kalau aku kahwin nanti, aku nak buat besar-besaran. Aku bukannya kahwin selalu. Seumur hidup sekali saja kut. Apa salahnya kita berhabis.”

Mulalah dia jadikan bahan. Malasnya nak berlawan cakap dengan orang macam dia ni. Jadi, lebih baik aku duduk jauh-jauh sikit.

Cantik bunga telur pilihan Shidah. Mengikut tema majlis. Warna ungu.

“Eh Adah, bila kau sampai?” Shidah datang salam aku.

“Baru lagi.” Aku pandang Shidah yang kelihatan cukup berseri. Nampak seri pengantin terserlah. Dengan dihiasi barang kemas, Shidah betul-betul nampak lain.

“Aku dengar kau nak bertunang dengan Khairil. Betul ke?”

Aku angguk.

“Kau terima dia? Kau jangan pandang rupa paras semata, tapi duit kosong buat apa.”

Jadi, tak salah kalau aku cakap Shidah ni memang mata duitan. Sama macam mak dia, sama macam mak ngah dia. Mak ngah tu mak akulah. Dan samalah dia dengan sahabat dia Maiza.

“Mana boleh hidup dengan muka segak saja.”

Yalah, Shidah. Kau nikah dulu, nanti baru kau cerita kau boleh hidup atau tidak. Bagi aku semuanya ada masalah sendiri. Tinggal lagi nasib dengan tak nasib saja nak hidup bahagia.

“Kau dah sedia nak hidup dengan anak-anak tiri kau? Aku tolak Borhan dulu sebab anak-anak dialah.” Giliran aku pula bercakap. Asyik Shidah saja nak menang.

“Kau tolak Borhan? Aku tak faham.” Wajah Shidah serta merta berubah.

“Kau tak tahu cerita ke?” soalku.

“Tak, aku tak tahu apa-apa,” jawab Shidah sedikit kasar. Aku rasa bukan dia tak tahu. Dia tahu sebenarnya tapi saja cakap tak tahu. Satu kampung dah riuh. Lagipun masa Borhan mengamuk dulu bukankah kecoh satu kampung. Lepas tu kecoh pula cerita mak long tawar Shidah jadi ganti.

“Aku kan tak nak Borhan. Tak nak aku duda anak lima tu. Aku bukannya sabar sangat dengan budak-budak.”

“Hah, nanti tahulah aku uruskan anak-anak dia. Bukan susah pun.”

Tengok muka Shidah pun aku tahu inilah muka bakal mak tiri yang mendera anak tiri. Tapi tak tahu jugak. Takut dia yang kena dera dengan Borhan nanti.

Shidah tinggalkan aku. Dia masuk semula ke dalam bilik. Aku tahu dia marah. Bukan niat aku untuk menganggu kegembiraan Shidah, tapi dia yang mulakan dulu. Aku jawablah.

Tapi betul ke Khairil segak? Taklah. Tapi bila aku pandang Maiza, aku rasa betul kut. Kalau tidak, takkanlah Maiza pun ada hati dengan Khairil.

Aku minta diri ketika waktu sudah menunjukkan pukul 6.00 petang. Masa tu Maiza masih ada lagi.

“Malam ni jangan lupa datang. Banyak lagi kerja,” pesan Kak Mie. Memang taklah aku nak datang. Mesti mak tak benarkan. Mak mana berani tinggal di rumah sorang-sorang.

“Tengoklah nanti macam mana,” jawabku perlahan. Nak kata tak boleh memang tak patut sangat.

Aku terus keluar dari rumah mak long. Masa tu ramai jiran tetangga sudah pulang. Yang tinggal hanya keluarga belah arwah pak long.

“Nak balik dah?” Khairil menyapa. Perlahan tapi kenapa aku dengar seperti seksi saja suara dia? Buruknya pendengaran kau, Adah.

Aku angguk. Dia pun siap-siap nak balik. “Hati-hati kayuh basikal tu. Kalau jatuh bangun sendiri. Saya belum dapat tolong lagi.”

“Sanggup ke awak tengok saya jatuh tergolek tanpa tolong apa-apa?” Cuba melihat reaksi Khairil.

“Kalau sanggup, maknanya tak sayang.” Soalan aku dia jawab dengan senyuman di bibir. Mata pula pandang tempat lain.

“Habis tu kenapa cakap macam tu?”

“Nak awak lebih berhati-hati. Tak nak awak sakit. Saya hanya mampu menolong, yang tanggung sakit tetap awak.” Matanya kembali menatap wajahku.

Aduhai…

Separuh jiwa melayang.

“Insya-ALLAH, saya akan lebih berhati-hati. Saya pun takut sakit.” Aku senyum sebelum kayuh basikal. Tak boleh sembang lama-lama. Karang jadi bahan, aku jugak yang susah.

Masa aku sampai rumah, mak tengah lipat kain di sofa. Tak nampak pulak sakitnya.

“Ramai orang kat rumah mak long tadi?” 

“Adalah jugak. Muka yang sama. Semua tanya mak.” Aku tutup semua tingkap. Lambat sikit nanti banyak nyamuk masuk. Lepas tutup tingkap aku ke pintu pula. Masa tu la aku nampak Khairil lalu. Tak toleh pun.

Mak senyap. Habiskan lipat kain. Aku duduk depan mak. Nak kurangkan panas badan sebelum mandi.

“Berapa jenis lauk kenduri esok?” Dalam tak nak ambil tahu, masih sibuk mak bertanya.

“Daging masak kari. Ayam masak merah. Jelatah. Tu ajelah yang tahu. Tak tahulah siapa yang nak masak.” Aku mengeluh sedikit perlahan. Bimbang juga dengan majlis kahwin Shidah ni. Tak ramai yang nak menolong.

“Ada je yang nak buat kerja esok.”

“Dulu lain mak, sekarang lain. Sekarang ni kalau tak campur dengan orang, memang orang tak tolong. Harap kaum kerabat sajalah. Kalau dapat kaum kerabat boleh pakai, takpelah juga.”

“Orang tak hairan semua tu. Dengar je nama Borhan semua akan tolong.”

Kalau mak dah cakap macam tu, aku tak payah cakap apalah. Tengokkan aje. Esok aku tolong apa patut. Lebih-lebih, malas aku.

“Yalah, meriahlah sebab dapat menantu orang kaya.”

Mak mula mengungkit. Aku rasa sampai bila-bila pun mak akan ungkit. Tak tahu dengan cara apa lagi untuk aku menutup mulut mak. Tapi biarlah. Nanti-nanti mak akan lupa juga.

“Kalau tidak, itulah majlis kahwin kamu, Adah. Mesti meriah. Tumbang kerbau dua ekor. Panggil orang marhaban, panggil orang kompang.”

Kata-kata mak seperti majlis perkahwinan aku yang paling gah. Mak mahu menunjuk.

“Taklah meriah sangat majlis Shidah tu. Tadi dengar jugak orang bercakap. Duda Borhan bagi tujuh ribu saja. Tujuh ribu, mak. Janda pun tak ada yang harga tujuh ribu sekarang ni. Paling kurang sepuluh ribu. Majlis tu semua duit mak long. Lepas ni mak tengoklah nasib mak long.” Geram sangat asyik puji Duda Borhan, sudahnya terpaksalah aku pecah rahsia.

“Takkan tujuh ribu aje? Kenduri pun tak lepas.” Mak bercakap sendiri.

“Macam tu la yang saya dengar.”

Ingat duda tu nak bagi 50 ribu ke? Jangan mimpi kut.


BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4  • BAB 5


BELI NOVEL TENTANG LARA HATI (PENULIS: NUEEN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *