Tentang Lara Hati – Bab 5

MAJLIS perkahwinan Shidah memang meriah.   Berarak   berkompang. Bersanding bagai. Yang jadi masalahnya, tak berapa ramai jiran tetangga yang menolong. Harap tenaga kaum keluarga saja. Jiran tetangga yang menolong pun muka orang yang sama saja.

Di khemah sana aku nampak kaum kerabat belah mak sedang berkumpul. Kakak-kakakku pun ada sama. Bukan main rancak berbual, diselang-seli dengan ketawa. Tak ada yang mahu menolong langsung. Belah keluarga arwah pak long pun sama. Masing-masing duduk berkumpul.

“Saya nak balik kejap. Lepas zuhur saya datang semula.” Khairil datang beritahu aku masa aku kalut basuh timun dan kacang botol. Aku toleh pandang dia yang berpeluh-peluh.

“Awak, tak payahlah awak datang semula. Cukup-cukuplah awak tolong. Balik berehat.” 

“Hesy, ada pulak macam tu.”

“Kalau betul sayang saya, tolong ikut cakap saya.”

“Adah?”

“Nanti saya telefon awaklah. Nak cakap kat sini, banyak sangat mata yang menjeling.” Masa aku jeling arah khemah keluarga, aku tengok semua pandang arah kami.

“Yalah, yalah.” Khairil beredar.

Aku pun pelan-pelan tinggalkan majlis.

Sampai rumah anak-anak saudaraku bergelimpangan menonton TV. Kesemua adik- beradikku pulang sempena perkahwinan Shidah.

Lepas solat zuhur aku ambil bantal dan berbaring di ruang tamu bersama anak-anak buah yang lain.

Sedang berkira-kira hendak hubungi Khairil, telefon terlebih dahulu berbunyi.

“Baru nak hubungi awak.”

“Saya nak tahu hal sebenarnya.”

“Tak ada apa pun. Cuma janganlah rajin sangat. Tolong ala kadar sudah. Awak tolong pun orang sebut yang bukan-bukan. Sakit hati saya dengar.”

“Saya tolong dengan ikhlas. Tak minta balasan apa pun. Arwah mak saya pesan, kena campur masyarakat. Kalau ada kenduri-kendara saya kena tolong.”

“Ya, saya faham tu. Tapi berpada-padalah, awak. Tolong apa patut saja. Semalam awak dah tolong, malam tadi dah tolong. Hari ni buat biasa- biasa saja.”

“Kalau awak dah cakap macam tu, saya ikutlah. Sebab arwah mak saya pesan jugak, saya kena dengar cakap isteri saya nanti. Baru isteri saya akan sayang saya.”

“Khairil, awak nak beli jiwa saya ke?”

“Kalau saya nak beli, saya tak beli satu-satu. Saya beli pakej. Senang kira.”

Tak terkata. Pandai betul dia bercakap. 

“Okeylah, awak. Saya ingat nak kutip asam gelugur. Semalam tengok banyak dah luruh. Nanti saya telefon awak semula.” 

“Yalah.”

“Assalamualaikum.” 

“Wa’alaikumussalam.”

Aku tarik nafas dalam-dalam. Terasa lega.

“Eh, mak su senyum sampai telinga.” Zafran anak abang long nombor tiga menegur.

“Mana ada…”

“Macamlah kita tak nampak. Orang tengah bercinta memang macam tu ye?”

Aku malu sendiri. Pura-pura pejam mata. Dalam pura-pura pejam mata, aku terlelap juga. Terjaga bila mendengar suara riuh rendah kakak- kakakku. Tapi aku terus pura-pura tidur.

“Takdelah meriah sangat majlisnya.” Aku dengar kak ngah mula bercerita. Ini sah mengumpat majlis kahwin Shidah.

“Mak long bercerita gah bukan main lagi.” Kak lang mengumpat mak long. Aku terus sambung pejam mata sebab tak mahu dengar apa-apa.

Mak sampai tak lama selepas tu.

“Eh, kamu di sini rupanya. Semua orang cari kamu, Adah. Banyak lagi kerja nak buat, kamu boleh membuta di rumah. Bangun, bangun.” Mak goncang badanku.

“Lah, semalam mak cakap ramai je orang nak tolong. Petik saja nama Borhan, laju je orang buat kerja.”

“Hesy, janganlah macam-macam. Pergilah tolong. Kesian mak tengok. Pinggan banyak tak berbasuh lagi. Kamu tak ada, budak tu pun tak ada. Kamu berdua berpakat ke?”

Memang berpakat pun. Tolong pun kena kutuk. Baik tak payah tolong.

“Cepatlah.”

“Anak lain mak tak suruh pulak.” Ini yang aku nak ungkit. Yang lain datang ala-ala mak datin.

“Mereka nak balik dah. Lagipun takkanlah mereka pulak yang nak buat kerja semua tu. Mereka tu tetamu.”

Memang tersentap jiwa dan perasaan dengar cakap mak. Terus aku bangun. Masuk bilik sementara tunggu asar. Kalau aku tunggu, nanti hati aku lagi sakit. Aku takut kata-kata hati pun buat aku berdosa dengan mak.

“Eh, kenapa masuk bilik pulak?”

“Lepas asar nanti baru nak pergi,” jawabku. Masa tu kakak-kakakku tengah kalut mengemas nak balik. Mak pun kalut layan anak-anak kesayangan dia. Kekal aku bersama sakit hati. Tak apalah.

Lepas solat asar, aku keluar rumah. Masa tu rumah dah sunyi sepi. Semua dah pakat balik belaka. Baru tolak tongkat basikal, telefon bimbit berbunyi.

“Assalamualaikum, awak.” 

“Wa’alaikumussalam.”

“Mak-mak sedara ada kat rumah ni. Tadi pergi kenduri kahwin, terus singgah rumah saya. Mereka suruh awak datang.”

“Kenapa ya?”

“Tak ada apa-apa. Nak berkenalan saja. Nak kenal gadis yang buat saya tak kenal mana bulan, mana bintang.”

“Mak cik awak cakap macam tu?”

“Mak cik saya cakap nak berkenalan saja. Ayat selebihnya tu saya pandai-pandai tokok sendiri.”

Khairil ketawa.

“Mereka tu okey tak?”

“Mereka semua okey. Baik-baik belaka. Datanglah. Kesian mak cik-mak cik saya. Nak sangat kenal dengan awak.”

“Yalah, yalah. Saya datang ni.” Dari aku jadi kuli tukang basuh pinggan, baik aku pergi rumah Khairil.

“Saya tunggu.”

“Awak cakap mak cik-mak cik awak yang nak berkenalan dengan saya, tapi kenapa awak pulak yang kena tunggu?”

“Tak boleh ke saya tunggu bakal tunang saya?”

Mati kata-kata kalau dia cakap begitu. Terus saja aku kayuh basikal selepas panggilan dimatikan. Nanti kalau cerita aku pergi rumah Khairil sampai ke pengetahuan mak, pandai-pandailah aku jawab. Takkan nak berkenalan dengan saudara mara Khairil pun tak boleh. Bukan ke tak lama lagi akan menjadi sebahagian keluargaku juga?

Berdebar juga ketika menghampiri rumah Khairil. Ingatkan ramai. Rupanya tiga orang saja. Dua tu aku biasa jumpa. Seorang Khairil panggil mak chor dan seorang lagi Khairil panggil mak we.

“Ini adik bongsu arwah mak, mak su.” Khairil duduk di sebelah. Sedikit rapat. Ambil kesempatan sungguh.

Aku menyalami mak su.

“Nanti jaga baik-baik Khairil tau. Dia dahlah anak yatim piatu. Tak ada adik-beradik pulak tu. Nak harapkan kami, apalah yang kami boleh tolong. Kami pun ada keluarga masing-masing. Ada anak cucu sama.”

Aku angguk.

“Khairil pun sama. Dah ada orang nak, jangan sia-siakan pulak. Pandai-pandailah jaga Adah nanti.”

“Insya-ALLAH, mak su. Kami akan saling menjaga antara satu sama lain nanti.” Terasa semakin rapat badan Khairil dengan aku.

“Hiduplah dengan sederhana. Harta dunia tak bawa kita ke sana pun.”

Khairil tak cakap sekalipun, aku tahu ada kebimbangan pada wajah-wajah mak-mak saudara Khairil. Maklum, keluarga aku seperti gah sangat di mata mereka, walhal tak ada apa benda pun. Macam keluarga orang lain juga.

Selepas berkenalan dengan mak su, aku minta diri. Alasan nak ke rumah mak long.

“Nak saya ikut sekali ke?” soal Khairil. 

“Tak payahlah. Dah penat awak tolong.”

“Tak apalah kalau macam tu. Saya kenalah belajar ikut cakap bakal isteri. Senang nanti, kan?” Khairil senyum-senyum.

“Hah, tahu pun…”

Balik dari rumah Khairil, aku singgah rumah mak long. Tunjuk muka. Masa tu majlis sudah selesai. Ada tiga empat orang jiran yang sedang berkemas.

“Mana kamu pergi, Adah?” soal Mak Cik Milah.

Aku senyum. Tak jawab apa-apa.

“Tak tahulah siapa yang nak buat semua kerja ni. Orang semua habis dah balik. Mak cik pun nak balik kejap. Nanti mak cik datang balik.” Mak Cik Sofi minta diri.

“Mak cik pun.” Mak Cik Milah pun sama minta diri.

Akhirnya semua jiran-jiran pun minta diri. Tinggal aku terkontang-kanting seorang diri. Tak tahu nak buat apa sebab terlalu banyak sangat benda yang nak kena basuh. Dengan pinggan, dengan cawan. Di dalam rumah aku dengar suara kaum keluarga mak long bergelak ketawa. Aku pulak nak susahkan diri basuh pinggan? Memang taklah. Baik aku balik.

“Eh, Adah. Nak ke mana tu?” panggil mak long.

“Nak baliklah. Dah tak ada orang lain nak buat kerja. Takkan saya sorang-sorang.”

“Kamu basuhlah pelan-pelan. Nanti, siaplah.”

“Tak apalah, mak long. Balik dululah.”

“Siapa yang nak basuh semua pinggan ni?” Tanya aku pulak. Manalah aku tahu.


BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4  • BAB 5


BELI NOVEL TENTANG LARA HATI (PENULIS: NUEEN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *