Tri + Manda – Bab 1

KALI pertama dia melihat wanita itu adalah dua bulan selepas Nadi melahirkan Raees. Wanita itu berdiri di sudut kiri bilik sambil memerhatikan teman-temannya yang lain bermain dengan si kecil Raees. Mungkin dia silap menilai, tetapi boleh jadi dia benar. Pandangan mata wanita itu memberikan gambaran kesedihan. Bola matanya redup dan suram, mengajak orang yang menatap matanya ikut terjerumus dalam kesedihan itu.

“Manda, nak cuba pegang baby tak?”

Wanita itu agak tersentak ketika ditanya soalan itu. Dia tersenyum tipis. Tangannya membuat isyarat tidak mahu.

“Erm, tak apa. Aku tak biasa pegang baby.” Dia menolak.

“Eh, cubalah dulu. Tak cuba belum tahu boleh ke tak.”

Dia tetap menolak. Enggan menyambut bayi yang dihulurkan kepadanya. Bukan kerana dia tidak sukakan bayi, lebih kepada dia tak ingin merasakan apa yang mereka rasakan. Bahagia dan teruja, wajah mereka memancarkan perasaan seperti itu. Dan syukur, penolakannya dibantu deringan telefon yang tiba-tiba berbunyi.

Sorry, aku jawab call sekejap.” Dia keluar dari bilik itu sambil menarik nafas lega.

“Helo.”

Senyap. Wajahnya berkerut-kerut mendengar bicara si pemanggil.

“Manda tak ada duit, abang.”

Mukanya merah padam. Matanya melingas ke sekeliling, mencari keberadaan seseorang yang mungkin akan mendengar suaranya yang sedang menggeram menahan amarah.

“Demi ALLAH, Manda tak ada duit. Abang tahu kan Manda tak kerja sekarang.”

Tangannya menggenggam erat telefon pintar. Sakit hati pada si pemanggil yang tidak mahu mengerti bahasa yang diucapkan. Meminta duit seakan dia sebuah bank. Minta saja akan terus tersedia dengan sekian banyak wang yang diminta.

“Abang nak Manda buat macam mana? Boleh tak tolong faham Manda sekali ni je. Manda tak kerja sekarang ni sebab abang juga. Kalau bukan sebab…”

Dia menggetap bibir, menahan butiran air mata yang mahu menitis ke pipi. Jangan menangis! Kau di rumah orang. Mindanya mengingatkan. 

“Bukan macam tu maksud Manda. Ab…” Bibirnya terkatup menatap skrin telefon yang sedang bercahaya. Lambat-lambat telefon itu dimasukkan semula ke dalam beg tangan. Talian sudah diputuskan begitu saja oleh lelaki yang menghubunginya.

Perlahan keluhan tipis dilepaskan. Dia bersandar lemas ke dinding. Menumpang bertongkat dengan tangan yang sedang menggigil. Rasa sedih dan geram bercampur aduk dalam dadanya.

Tri tidak bermaksud untuk menjadi tukang sibuk yang mengintip anak dara orang sesuka hati. Dia tidak tahu mengapa kali pertama melihat wanita itu hatinya sudah tertarik. Wajah lembut wanita itu bagaikan sebuah magnet, memaksa pandangan Tri tunak ke wajahnya.

Setelah yakin keadaan wanita itu semakin pulih, dia pura-pura berjalan di hadapan wanita itu. Bagus betul tempat yang dipilih wanita itu untuk menjawab telefon, tak jauh dari laluan ke sebuah bilik air. Dua langkah di hadapan wanita itu dia berhenti, kemudian menoleh.

“Sesat ke?”

Wanita itu tersentak dengan teguran Tri. Dia langsung tak perasan Tri lalu di hadapannya. Matanya yang bulat menjadi semakin bulat. Pipinya yang ranum bersinar bertukar kemerah-merahan.

“Hah?”

“Saya tanya awak sesat ke?”

“Oh, hah ya. Bilik air kat mana? Sa… ya nak tumpang bilik air.”

Tri senyum. Telunjuk menunjuk ke sebuah pintu.

“Te… terima kasih.”

Laju langkah wanita itu menuju ke pintu yang ditunjuk Tri. Dia sempat memandang Tri yang masih tercegat memandangnya sebelum dia masuk ke dalam bilik air. Dia tersenyum, meskipun hambar namun tetap terlihat manis.

AKU nak cakap dengan Nadi sekejap.”

Budi mendengus. Dia merenung tajam wajah Tri yang selamba mengganggunya bersenang-senang dengan Nadi.

Raees baru saja lelapkan mata. Inilah masa dia nak bermanja dengan isterinya yang tercinta, tetapi disebabkan lelaki tak tahu malu yang sehari dua ini asyik menyempil di rumahnya, acaranya bermanja dengan Nadi asyik terganggu. Padahal dia di rumah sendiri, tetapi dia terpaksa mencari tempat yang tersorok jika mahu bermesra dengan Nadi. Sakit sungguh hatinya. 

“Bila agaknya orang tua ni nak balik? Ganggu ajelah. Macam tak ada rumah sendiri!” bebelnya kepada Nadi seolah-olah Tri tiada di situ.

Hesy, abang ni! Tak baik cakap macam tu.” Nadi menyiku perut Budi. Membuat isyarat supaya Budi meninggalkannya berdua dengan Tri.

“Bos kau tak marah ke kau cuti lama-lama? Kalau aku jadi bos kau dah lama aku pecat pekerja macam kau. Asyik cuti je.”

“Sebab tu kau tak jadi bos aku. Salah guna kuasa. Suka-suka hati kau nak pecat orang. Aku cuti, bukannya ponteng. Itu pun tak tahu beza ke?” balas Tri selamba.

Terkadang dia suka lupa umur bila berhadapan dengan Budi yang suka sekali bertingkah seperti anak remaja yang baru jatuh cinta. Sudah tahu hubungan sebenarnya dengan Nadi, masih juga Budi bersikap possessive terhadap Nadi. Tak boleh dia nak berbual lama sikit dengan Nadi, ada saja akal Budi supaya Nadi tidak duduk berdua dengannya.

“15 minit!”

“Kau ingat kelas ke nak bagi masa macam tu?”

“15 minit, atau tak payah cakap langsung. Tak pun cakap aje depan aku.” Budi naik turunkan kening. Mukanya seperti muka orang minta dibelasah.

“Abang tolong tengokkan Raees boleh tak? Nadi macam ada dengar bunyi suara baby menangis.”

“Abang tak…”

“Abang, please…”

Budi lemah betul bila Nadi buat muka puppy eyes macam tu. Kalau tak ingat Nadi ada Tri di hadapan mereka saat ini sudah lama dia gomol Nadi.

“Okey, sayang.” Dia mengecup sekilas dahi Nadi, menjeling Tri tajam, kemudian masuk ke bilik untuk menjenguk bayi mungil yang diyakini sebenarnya sedang tertidur pulas. Digunakan sebagai alasan untuk mengusirnya pergi dari situ. Tak mengapa, dia beri Tri peluang berbual dengan Nadi. Jika setengah jam lagi Nadi tak masuk bilik, dia sendiri yang akan jemput Nadi.

Tri melabuhkan duduk di sebelah Nadi. Beberapa saat kemudian kepalanya terlentok di bahu Nadi. Nadi yang hairan dengan sikap Tri mengerutkan dahi.

“Abang cemburu dengan Budi,” ucap Tri disertai keluhan.

Kening Nadi terangkat. Kenapa pula Tri nak cemburu dengan Budi?

“Dia baru 29 tahun, tapi dia dah ada segala-galanya.”

“Abang pun ada segala-galanya.”

“Abang bukan cakap pasal material, Nadi. Abang tengah cakap pasal keluarga. Di saat abang yang berumur 34 tahun masih single, tak ada girlfriend mahupun tunang. Budi yang 5 tahun lebih muda daripada abang bukan saja dah ada seorang isteri yang cantik, bahkan dia juga dah ada seorang

pewaris yang sangat kuat. Abang teringin nak berada di tempat Budi,” luah Tri. Dia tegakkan badan. Bahu Nadi tak begitu selesa dijadikan sandaran kerana ketinggian Nadi yang tak setara dengannya.

“Kalau macam tu, kahwin. Habis cerita. Ada isteri adalah anak,” balas Nadi mudah. Hukum alam memang begitu. Nak dapat zuriat harus ada isteri. Mahukan keluarga lengkap perlu ada suami, isteri dan anak.

“Nak kahwin dengan siapa? Abang tak ada girlfriend.”

Bukan itu saja, dia juga tak pernah terfikir nak berkahwin sebelum ini. Sejak akhir-akhir ini saja baru dia terfikir. Mungkin berada di sekitar keluarga kecil Nadi memberi pengaruh buruk padanya. Menimbulkan keinginan untuk memiliki kehidupan yang sama seperti mereka. 

“Carilah…”

“Kalau mencari teman hidup semudah membeli baju di kedai, atau beli ikan di pasar, abang rasa setiap bulan abang bertukar isteri.”

“Astaghfirullah al-azim. Nauzubillah minzalik. Abang jangan nak merepek. Kalau perempuan dengar abang cakap macam ni, daripada berniat nak jadikan abang bakal suami terus abang kena reject dan-dan itu juga.”

Tri hamburkan tawa kecil. Dia bahagia setiap kali berbual dengan Nadi. Nadi sentiasa berusaha mengerti perasaan dan sikapnya. Dia berangan sekiranya suatu hari dia berniat memiliki pasangan hidup, wanita itu harus seperti Nadi yang sangat penyabar. Yang tahu bersikap dan hidup sekadarnya. Bukan seperti sesetengah anak orang kaya lain yang hanya tahu menghamburkan duit untuk perkara yang sia-sia.

“Abang tengah stress ke?”

“Mana Nadi tahu?”

“Nadi tengok muka abang pun Nadi dah tahu. Nadi nak cuba teka. Mesti papa desak abang masuk syarikat. Lepas tu mama pula desak abang cari isteri sebab sekarang abang dah 34 tahun. Mama gunakan Budi sebagai contoh sebab Budi lebih muda daripada abang. Nak gunakan Thor tak boleh. Sebab Thor dua kali lima dengan abang! Betul tak tekaan Nadi?”

Tri mengelus lembut kepala Nadi. “Hebat betul adik abang. Tahu saja masalah hidup yang paling membebankan fikiran abang.”

“Ikut ajelah cakap mama dan papa. Sampai bila abang nak kerja dengan orang?”

“Abang boleh masuk syarikat bila-bila masa dik. It’s not a big deal. Yang jadi masalah sekarang, calon isteri. Kat mana agaknya abang nak petik calon isteri untuk diri sendiri yang macam Nadi?”

“Abang nak calon isteri yang macam Nadi?” Nadi tunjuk diri sendiri. Dia tak pernah tahu kriteria wanita idaman Tri. Tak sangka pula dia dijadikan titik tolak Tri dalam mencari teman hidup.

“Dalam dunia ni Nadi ada sorang je, abang. Abang takkan jumpa Nadi yang kedua dan ketiga. Abang patut cari perempuan yang berbeza dengan Nadi. Satu hari nanti bila abang dah jumpa orang yang tepat, abang lupa segala kriteria yang pernah abang tetapkan. Masa tu abang akan terima apa saja kelemahan pasangan abang. Sebab bagi Nadi bila kita dah bersedia untuk hidup berdua, kita bukan saja kena mencintai kelebihan pasangan kita, tapi kita juga kena mencintai kekurangan dia,” ujar Nadi panjang lebar.

Satu lagi sifat Nadi yang Tri suka. Dalam keadaan tertentu Nadi boleh bersikap lebih dewasa daripada Tri. Nasihat Nadi selalu mengena dengan situasi yang dia alami.

“Help me, then.”

Nadi terkelip-kelip memandang Tri. Menanti pertolongan apa Tri harapkan.

“Carikan abang calon isteri? Wanita biasa yang boleh menyempurnakan kekurangan abang.”

Cakap memang senang. Banyak wanita di dunia ini, tetapi nak mencari wanita yang kena dengan selera Tri, huh Nadi yakin bukan satu hal yang mudah. Wanita biasa yang boleh menyempurnakan kekurangan Tri. Kat mana dia nak cari perempuan seperti itu?


BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4   BAB 5 BAB 6


BELI NOVEL TRI + MANDA (PENULIS: AFNAN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *