LAPAN bulan yang lalu sewaktu dia membantu Nadi, dia masih seorang perempuan sederhana yang hidup seadanya. Tak mewah namun cukup makan dan punya tempat tinggal walaupun sekadar rumah sewa. Namun, sebulan kebelakangan ini hidupnya yang tenang tiba-tiba jadi kucar-kacir setelah kemunculan seorang lelaki yang sejujurnya sudah hampir dilupakan kewujudannya.
Amanda mengerling lelaki yang bersandar santai di tepi pintu apartmen yang disewa. Dia mencucuk anak kunci ke lubang pintu gril. Lelaki itu mengekorinya masuk ke dalam rumah. Dia yang lelah kerana seharian di luar mencari kerja tak mempedulikan kehadiran lelaki itu.
“Lambat kau balik. Pergi mengongkek dengan jantan mana?”
Amanda tidak menjawab. Membiarkan kata-kata beracun itu masuk ke telinga kanan, lalu keluar melalui telinga kiri. Dia terus ke biliknya.
“Aku lapar. Rumah kau ada makanan tak?”
Amanda yang berada di hadapan pintu bilik, menoleh ke arah lelaki yang sedang membuka pintu peti ais.
“Air kosong je ada? Rumah kau ni tak ada ke makanan lain? Peti ais sikit punya besar, habuk pun tak ada.”
Amanda tersentak sewaktu lelaki itu menghempas pintu peti ais. Dia memegang erat tali beg tangannya.
Memang tiada apa di dalam peti ais itu. Peti ais besar itu disediakan tuan rumah, bukan dia sendiri yang beli. Kalau dia yang beli dia akan pilih peti ais yang kecil saja. Dia jarang beli barang dapur sementelah dia lebih kerap membeli makanan di luar. Bukanlah sampai tak ada langsung walau sebutir beras, cuma biasanya sehingga beras berbubuk pun tetap tak habis dimasak.
“Ada beras dengan telur je. Manda boleh masak kalau abang nak makan. Tapi kena tunggu kejaplah.”
Lelaki itu mendengus. “Daripada aku tunggu kau masak baik kau bagi aku duit. Aku beli kat luar aje. Apa barang makan nasi dengan telur.
Kau ingat kita tinggal kat kampung lagi ke? Makanan kat dalam penjara pun sedap lagi. Bak sini duit! Aku nak beli makan.”
Lelaki itu menadah tangan. Amanda mengambil beg duit di dalam beg tangan. Belum sempat dia membuka beg duit, lelaki itu merampas beg duit di tangannya.
“Abang, janganlah. Itu duit belanja Manda bulan ni. Abang dah banyak ambil duit Manda. Kalau abang ambil semua Manda nak makan apa?” Dia cuba menghalang lelaki itu merampas duitnya. Namun, lelaki itu dengan kurang ajar menolak tubuhnya sehingga dia terjungkal ke tepi dinding.
“Dengan aku pun kau nak berkira. Jangan lupa aku ni abang kau. Macam mana pun kau kena hormat aku!” Beg duit dilemparkan ke muka Amanda. Tak peduli pada rayuan sang adik yang minta dikasihani.
“Abang… “
“Diam! Kalau tak aku belasah kau!”
Mana mungkin dia diam. “Abang…”
Sekelip mata telinganya berdengung saat penampar dilayangkan ke pipinya. Dia tak berupaya melawan ketika Ameer merampas beg tangannya lalu mengambil kunci kereta yang disimpan di dalam beg itu. Tiada guna dia meraung. Lelaki itu tidak akan mendengar suaranya. Begitulah selalunya. Dia terpaksa mengalah, jika tidak dia bukan saja akan diberikan ancaman, malahan dia akan dipukul sehingga suaranya tenggelam di hujung kerongkong.
“Ada adik pun tak boleh harap. Muka tak boleh jual, body apatah lagi. Kering macam ikan masin. Nah, ambil balik beg kau ni!”
Begitu saja beg tangannya dicampakkan ke mukanya. Tak sempat dia nak mengelak. Isi di dalam beg tangan berhamburan jatuh ke lantai. Dia teresak-esak mengutip barang-barangnya.
Selesai mengutip barang dia bangun mengunci pintu. Apa pun yang terjadi malam ini dia takkan buka pintu dan biarkan si bedebah itu bermalam di rumahnya. Hidupnya sudah cukup bermasalah sejak Ameer muncul sebulan yang lalu. Tiba-tiba dia hilang pekerjaan kerana kegaduhan yang Ameer lakukan di tempat kerjanya. Duitnya sudah beribu habis digunakan
Ameer berjoli. Dan tak lama lagi dia bakal kehilangan tempat tinggal pula. Kalaulah dia boleh melarikan diri ke sebuah tempat di mana tak seorang pun mengenalinya, sudah pasti akan dilakukan saat ini juga. Tetapi malang walau sepahit mana pun kenyataan, dia terpaksa berpijak di bumi yang nyata. Dia tiada tempat lain yang hendak dituju.
Tak cukup dengan mengunci pintu rumah, dia turut mengunci pintu bilik. Sewaktu mula-mula masuk ke rumah ini, dia menyewa rumah ini dengan dua orang lagi rakan perempuan. Ketika Nadi menumpang tidur di rumahnya, teman serumahnya hanya tinggal seorang lantaran yang seorang lagi berpindah kerana baru melangsungkan pernikahan. Dua bulan yang lalu teman serumahnya yang itu pula berpindah kerana telah membeli rumah baru.
Dia selalu cemburu dengan kawan-kawannya yang lain. Di saat ramai di antara mereka sudah mempunyai aset, dia malah masih hidup menyewa. Hanya ada sebuah kereta yang belum habis dibayar. Itupun tidak tahu kereta itu akan kembali ke tangannya semula atau tidak, mengingat abangnya itu kalau sudah mengambil barang orang, tak pernah sekali pun dipulangkan semula.
Banyak perancangannya tergendala. Niat mencari teman serumah yang baru terpaksa dibatalkan. Mungkin dia hanya perlu menyewa bilik saja untuk mengurangkan kos. Dengan kerja tak ada, kenderaan tak ada, duit simpanan yang semakin susut, tak mungkin dia dapat membayar sewa apartmen yang didudukinya sekarang.
Dia mengeluh perlahan. Merenung siling bilik dalam kegelapan malam, terkadang dia teringin mempersoalkan keadilan dalam hidup. Kenapa ada sesetengah orang, lahir-lahir saja terus bahagia sehingga ke akhir hayat. Sedangkan dia harus berjuang untuk membahagiakan diri sendiri. Sehingga kini perjuangannya masih belum cukup. Ternyata masih ada banyak cabaran yang sedang menantinya.
Pernah dia terfikirkan sesuatu yang jahat. Berdoa dalam hati, kenapa tidak TUHAN matikan saja watak Ameer dalam hidupnya. Dia dah tak larat menghadapi kerenah Ameer. Penat menjadi pembasmi segala kekotoran yang dibuat Ameer. Seumur hidupnya dihabiskan hanya untuk menyenangkan si abang yang tak pernah sekali berusaha menjadi abang yang sebenar-benarnya. Entah sampai bila dia akan hidup begini. Sungguh dia semakin bosan. Rasanya dia ingin berputus asa, membiarkan apa saja kemungkinan yang berlaku selepas itu. Mati atau hidup, dia tak lagi peduli.
Deringan telefon yang terletak begitu hampir dengan telinga membuat dia terlonjak kaget. Dia terduduk sambil mengurut dada. Membaca nama yang tertera pada skrin telefon, refleks bibirnya mengukir senyum tipis.
“Assalamualaikum, mak su.”
“Wa’alaikumussalam. Manda sihat ke? Ameer ada ganggu Manda tak? Dia ada minta duit dengan Manda tak? Kalau ada, jangan bagi. Simpan untuk diri sendiri. Kalau boleh cuba elakkan daripada berjumpa dengan dia.”
Amanda bersandar ke kepala katil. Dia mendengar suara mak su yang begitu bersemangat bila berbicara.
“Manda dengar tak mak su cakap apa?”
“Dengar…”
“Ada ke tidak Ameer cari Manda?”
“Tak ada,” jawab Amanda tanpa teragak-agak. Dia tidak mahu mak su risaukan dirinya.
“Betul ke tak ada?”
“Betul…”
“Alhamdulillah kalau tak ada. Mak su risau betul dia pergi cari Manda, lepas tu menyusahkan Manda. Yang paling mak su risau, dia berhutang keliling pinggang tapi Manda yang jadi mangsa kena bayar hutang dia.”
Mak Su Amirah melepas keluhan perlahan. Banyak beban Amanda berabangkan seorang lelaki bernama Ameer. Sejak kecil sudah sering menyusahkan keluarga. Suka bergaduh tak tentu hala. Belajar malas, bekerja lagilah malas. 32 tahun jadi biawak hidup, dibela keluarga. Kalau sungguh Ameer sejenis binatang seperti biawak, dah lama dia tetak Ameer. Tapi yang jadi masalahnya, Ameer itu bukan binatang tetapi manusia keparat.
“Mak su jangan risau. Manda tahu cara nak elak daripada abang.”
“Mak su ni bukan apa, Manda. Mak su risau. Manda jauh kat sana. Perempuan pula tu. Mak su tak nak jadi sesuatu yang buruk pada Manda. Mak su harap sangat Ameer tak cari Manda. Biar Manda terus bahagia kat sana. Mak su pun boleh tenang kat kampung.”
“Amin. Doakan Manda ya mak su. Manda dah tak ada mak ayah. Mak su aje yang Manda ada. Doa mak su mustajab macam doa mak, kan?” Tiba-tiba dia tak dapat mengawal air mata. Dia tak seharusnya menangis saat berbicara dengan mak su. Mak su pasti akan mengesyaki sesuatu yang buruk jika sedar dia menangis.
“Mak su tak pernah lupa doakan Manda. Elok sungguh kita ni. Mak su tak ada suami, tak ada anak. Manda pula tak ada mak ayah. Kita senasib Manda.”
Amanda tertawa perlahan.
“Jangan lupa doakan abang sekali ya, mak su? Buruk-buruk dia, dia tetap abang Manda. Anak saudara mak su. Perbuatan dia tak memutuskan hubungan darah kita dengan abang.”
Amanda memang begitu. Nampak saja dingin, mukanya masam cemberut tetapi hatinya lembut. Begitupun luarannya, nampak saja tegar hakikatnya bukan sekali dua dia rapuh, bahkan berkali-kali. Orang saja yang tak tahu kerana dia tidak memperlihatkan dirinya yang sebenar kepada orang luar.”
“Hurm, tengoklah nanti.”
Mak su tak seperti Amanda. Orang tua itu awal-awal lagi sudah putus asa dengan perangai Ameer. Makin meningkat umur makin buruk perangai. Tak tahulah kenapa manusia macam Ameer selalu panjang umur, jadi ujian untuk wanita sebaik Amanda. Kalaulah TUHAN tarik nyawa Ameer…
“Astaghfirullah al-azim…” Mak Su Amirah istighfar. Boleh pula dia fikir sampai ke situ.
“Kenapa mak su?”
“Tak ada apa-apa. Ada cicak jatuh atas kepala mak su.”
Cicak jatuh atas kepala? Amanda ketawa kecil. Membayangkan cicak jatuh di atas kepala mak su, dia kegelian.
“Jaga diri, Manda. Kalau ada masalah beritahu mak su. Jangan pendam sendiri. Jangan lupa ada mak su kat sini yang sentiasa ingat dan doakan kebahagiaan Manda.”
“Mak su pun sama, jaga diri baik-baik. Nanti bila Manda ada masa, Manda balik kampung jenguk mak su.” Entah bila masanya. Sudah pasti bukan dalam jangka masa terdekat.
Usai berbual dengan mak su, Amanda hempaskan tubuhnya berbaring. Dia mengernyit hairan ketika membaca nama Nadi naik di notifikasi WhatsApp. Sebuah gambar muncul saat dia menekan dia notifikasi itu.
Cincin kau ke?
Dia meraba jari manis. Oh, dia langsung tak perasan dia tak memakai cincin permata hitam itu. Satu-satunya harta peninggalan arwah ibunya. Biarpun reka bentuk cincin itu sudah ketinggalan zaman, namun dia tetap menghargai cincin itu. Cincin itu membuatkan dia berasa kehadiran arwah ibunya yang sudah meninggal dunia lebih kurang 15 tahun yang lalu sewaktu dia berusia 14 tahun.
Tertinggal kat rumah kau?
Yup. Dalam bilik air. Aku ingat cincin macam
ni kau sorang aje pakai. Tengok cincin ni aku
terus teringat muka kau.
Amanda tak kecil hati. Ada kawannya menyuruh dia jualkan saja cincin itu dan beli cincin baru. Tak mungkin dia menjualnya kerana bukan nilai cincin itu yang dipedulikan, tetapi kenangannya dengan cincin itu. Nama lagi kenangan, takkan dapat ditukar ganti dengan barang yang lain.
Esok aku pergi rumah kau, boleh?
Mestilah boleh. Kau boleh datang anytime.
Amanda tidak membalas lagi WhatsApp Nadi. Diletakkan telefon pintar di atas tilam. Semakin berat perjalanan hidupnya esok. Dia berharap TUHAN akan sentiasa kuatkan jiwanya supaya dia tak tersungkur di tengah ujian kehidupan.
BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5 • BAB 6
BELI NOVEL TRI + MANDA (PENULIS: AFNAN)