Tri + Manda – Bab 3

LEGA hatinya lantaran sehingga dia keluar pukul 11:00 pagi untuk ke rumah Nadi, kelibat Ameer tak muncul sampai ke sudah. Tiada kereta, terpaksa dia ke sana menaiki Grab. Mujur ada sedikit duit yang terselit di dalam beg tangannya, tidak semua disimpan di dalam beg duit. Kalau tidak, satu hal pula dia nak kena ke ATM untuk keluarkan duit.

Dia tidak benar-benar kehabisan duit. Sejak setahun setengah yang lepas, dia sudah mula menabung. Biarpun tak banyak mana, tapi adalah sedikit simpanannya. Satu setengah tahun yang lepas dia sudah berumur 27 tahun, kenapa umur seperti itu dia baru nak menabung? Padahal dia bekerja sejak dia berumur 16 tahun. Pagi sekolah, petang buat kerja part time di restoran makanan segera. Hal itu dilakukan kerana tidak mahu menyusahkan mak su. Hidupnya tidak akan menjadi susah sekiranya makhluk bernama Ameer tidak wujud dalam hidupnya. Disebabkan Ameer, hidupnya menjadi tunggang-langgang. Selain menjadi biawak hidup, pekerjaan Ameer adalah berjoli, habiskan duit mak su dan dia, ditambah buat masalah dengan orang. Berhutang sana-sini, yang jadi tukang bayar sudah pasti mak su dan dia.

Dia masih ingat lagi hutang terakhir Ameer bukan main banyak. Bila dikenang-kenang dia boleh beli sebuah kereta second hand secara tunai menggunakan duit itu. Disebabkan Ameer, bukan saja dia tak boleh menyimpan bahkan dia terpaksa berjimat cermat untuk melangsaikan hutang. Ameer benar-benar satu bebanan buatnya dan mak su.

Pintu rumah Nadi terbuka lebar sewaktu dia sampai di rumah banglo dua tingkat itu. Rumah Nadi tak begitu besar, namun kawasan sekeliling boleh tahan luas. Dia suka rumah seperti ini. Tak terlalu kecil, dan tak terlalu besar. Sederhana saja, sedap mata memandang. Melihat sekeliling halaman yang agak kosong, dia membuat andaian Nadi bukan seorang wanita yang suka berkebun. Halaman rumah dihias sekadarnya saja. Hanya ada beberapa buah pasu bunga, dan beberapa pokok bunga di tepi pagar. Selebihnya halaman kosong. Kemas kerana berumputkan rumput karpet, tetapi kosong.

“Assalamualaikum.” Dia memberi salam. Terintai-intai ke dalam rumah lantaran pintu rumah yang terbuka lebar. Suasana di ruang tamu sunyi sepi seolah-olah tiada orang di rumah. Meskipun begitu di bawah garaj terparkir dua buah kereta, kereta mewah berwarna hitam dan Toyota Vios berwarna silver.

“Assalamualaikum.”

“Wa’alaikumussalam.”

Bukan Nadi yang muncul, tetapi seorang lelaki yang tidak dikenali. Lelaki itu seperti agak terkejut melihat kedatangannya. Dia tersenyum canggung.

“Nadi ada?”

“Oh, jemput masuk.” Tak menjawab soalannya, dia dijemput masuk ke dalam rumah.

“Duduk dulu.” Selepas berkata begitu lelaki itu menghilang.

Lebih kurang 15 minit Amanda termangu di ruang tamu seperti orang dungu menanti Nadi keluar berjumpa dengannya, yang muncul tetap bukan Nadi.

“Jemput minum.” Lelaki yang tidak diketahui nama itu meletakkan segelas air di atas meja di hadapan Amanda. “Nadi tak ada.”

Kenapa tak cakap awal-awal? Kalau beritahu dari tadi, tak perlu dia terus menunggu seperti orang bodoh.

“Sekejap lagi dia balik.”

Amanda yang sudah angkat punggung, duduk semula. Badannya tegak, lurus memandang ke depan. Banyak hal yang sedang bermain di fikirannya. Antaranya dia gusar berdua-duaan dengan lelaki yang tidak dikenali. Setahunya Nadi tidak mempunyai pembantu rumah. Jadi dia yakin di rumah ini sekarang hanya ada dia dan lelaki ini.

“Nama siapa?”

Amanda pandang lelaki yang sedang menatapnya dengan pandangan datar.

“Amanda.”

“Tri.”

“Hah?”

“Nama saya Tri.”

“Oh…”

Ringkas namanya. Amanda melarikan pandangan ke tempat lain. Berharap Tri tidak akan mengajaknya berbual lagi.

“Macam mana boleh kenal Nadi?”

Oh, Tri masih mahu berbual dengannya!

“Kami satu U.”

“Satu course?”

Amanda angguk. Satu universiti dan mengambil jurusan yang sama, tetapi dia tak rapat dengan Nadi. Selain Nadi dan Budi, dia antara alumni yang tidak pernah menghadiri reunion. Tiada apa yang dia ingin tahu tentang rakan-rakannya di universiti.

Sejak bersekolah lagi dia memang kurang bersosial. Ketika remaja seusianya menghabiskan masa dengan kawan-kawan dia pula sibuk bekerja. Sungguhpun begitu bukan dia tak pandai bergaul. Dia boleh masuk apa saja kumpulan, tetapi dia tetap memilih untuk bersendirian. Buat hal sendiri berbanding bercampur dengan rakan sebayanya yang lain.

“Tak kerja ke hari ni?”

Amanda geleng. Tri terangguk-angguk.

“Dah kahwin ke?”

Terkebil-kebil Amanda menatap Tri. Sampai ke situ soalan Tri. Perlu ke dia jawab soalan Tri atau diamkan saja? Di mana Nadi? Katanya sekejap sahaja akan sampai, tetapi sampai sekarang tak nampak batang hidung.

“Saya belum.”

Amanda tak tahu kenapa Tri memberikan maklumat itu kepadanya. Dia tak nak tahu kerana hal itu bukan urusannya.

Tri bangun lalu menghampiri sofa yang Amanda duduki. Selamba dia duduk di sebelah Amanda. Wajah Amanda yang manis ditilik. Dia tahu Amanda tak selesa dengan kehadirannya, tetapi tak tahu mengapa wajah Amanda begitu menarik perhatiannya. Seperti ada yang berbeza dengan wajah Amanda hari ini. Dia cuba mengamati, mencari perbezaan wajah Amanda semalam dan hari ini. Setelah beberapa minit baru dia perasan solekan Amanda pada hari ini agak tebal. Tetap manis dan menarik, tetapi Tri tidak suka. Dia lebih suka melihat Amanda yang semalam. Lebih polos dan sederhana.

“Ke… kenapa?” soal Amanda sedikit tergagap-gagap. Dia mengengsot lebih ke tepi. Tri pandang mukanya tak berkelip.

Siapa lelaki bernama Tri ini? Daripada tak selesa, timbul perasaan takut.

“Kenapa dengan pipi awak?”

Spontan Amanda memegang pipinya sambil matanya menatap Tri waspada. Kenapa dengan pipinya? Sebelum keluar tadi dia cukup yakin solekannya mampu menutup kesan lebam di pipinya. Bila Tri bertanya begitu, dia mula sangsi. Mungkinkah lebam di pipinya sudah terlihat kerana solekannya semakin luntur.

Amanda tergeleng-geleng. “Tak… tak ada apa-apa.”

Tri yang tidak berpuas hati sedikit mencondongkan tubuh, ingin menatap muka Amanda dengan lebih jelas. Dan Amanda yang terkejut mendadak bangun dan hampir terjatuh dari sofa. Refleks Tri menarik tangan Amanda membuat wanita itu tersembam ke dadanya.

“Awak sakit ke, Amanda?” Tri memegang lengan Amanda yang berusaha menjauhkan diri darinya.

“Saya okey. Jangan dekat.”

Amanda membuat isyarat supaya Tri tidak menghampirinya. Dia takut. Mukanya berubah pucat.

Tri yakin sangat tubuh Amanda panas sewaktu dia menyentuh lengan Amanda. Bahkan wajah Amanda yang tersembam ke dadanya memberikan kesan haba yang mengewap sehingga ke kulitnya.

“Jangan dekat!” jerit Amanda. Dia benar-benar ketakutan melihat Tri. Sangkanya Tri berniat tak elok terhadapnya, padahal Tri hanya ingin memastikan keadaan Amanda yang tiba-tiba saja kelihatan membimbangkan.

“Manda…”

“Jangan dekat saya kata.” Amanda berundur ke belakang. Tangannya berusaha mencari sesuatu yang boleh dijadikan senjata.

Hey, cool. Saya tak ada niat tak baik. Awak nampak sakit.”

“Jangan dekat saya kata!”

Tiada apa yang tercapai dek tangannya. Dia sudah mahu buka langkah seribu, namun terhalang kerana pinggangnya disambar Tri. Matanya bulat menatap Tri. Dia baru saja mahu buka mulut memaki Tri, tiba-tiba pandangannya buram dan dia terkulai dalam pelukan Tri.


BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4   BAB 5 BAB 6


BELI NOVEL TRI + MANDA (PENULIS: AFNAN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *