APA abang buat pada Amanda? Macam mana Amanda boleh ada dalam pelukan abang?”
“Kan abang dah cakap tadi. Dia pengsan. Nadi tak dengar ke?”
Nadi memandang curiga wajah Tri. Dia jarang-jarang tak percaya pada Tri, tetapi entah mengapa detak hatinya memberitahu sesuatu yang lain padanya kali ini.
“It just happened, Nadi. Dia jatuh pada waktu yang tepat.”
“Abang ingat cinta?”
Tri tertawa perlahan. Dia menggosok belakang tengkuk, jadi salah tingkah bila Nadi sebut pasal cinta.
“Kenapa kaitkan dengan cinta? Tak betul ke apa yang abang cakap? Dia pengsan dan abang sambut dia tepat pada waktunya.”
Mata Nadi mengecil. “Tapi tepat yang abang cakap tu terlalu tepat dan cepat.”
“Maksud Nadi?”
“Tak ada apa-apalah.”
“Nadi kenal keluarga Amanda?”
Nadi menggeleng. Dia tak kenal siapa keluarga Amanda. Dia hanya tahu di mana tempat tinggal Amanda, itu saja.
“Takkan nak biarkan Amanda sorang-sorang kat sini?”
Nadi melihat jam di pergelangan tangan. Sudah setengah jam dia di sini, sementara Budi dan Raees di dalam kereta menunggunya. Dia tak mungkin menunggu sehingga Amanda sedarkan diri. Amanda kawannya, tetapi anak dan suaminya lebih penting.
“Pergilah balik. Biar abang yang tunggu.”
“Serius ke abang nak tunggu Amanda?” Pelik sebab Tri tak kenal Amanda. Tri yang dia kenal tak suka masuk campur urusan orang lain, apatah lagi urusan itu berkaitan dengan perempuan.
“Ya, seriuslah.”
“Jangan buat macam-macam. Dia perempuan baik-baik.”
“Sejak bila abang bukan lelaki baik-baik?”
“Lelaki baik pun ada nafsu. Amanda manis dan polos.”
“Come on, Nadi. Abang dah 34 tahun, bukan 14 tahun. Abang dah pernah jumpa perempuan yang lebih cantik daripada Amanda. Pernah ke Nadi tengok atau dengar abang buat benda tak elok pada perempuan?”
Jangankan dengar atau tengok, selama 34 tahun itu juga Nadi tak pernah tahu kehidupan cinta Tri yang sebelumnya. Entahkan Tri pernah jatuh cinta pada perempuan atau tidak. Dia tak pernah melihat pandangan Tri yang bernafsu atau berbinar-binar sewaktu menatap perempuan. Dan setahu Nadi, Tri tak pernah mempunyai kekasih. Satu hal yang agak membimbangkan kerana Datin Ameena pernah menyuarakan tentang kelurusan kiblat kelakian Tri. 34 tahun tak pernah mempunyai kekasih, tak ke pelik? Biasanya lelaki songsang saja yang tak pernah ada girlfriend, kerana mereka lebih memilih boyfriend.
“Pergilah balik. Abang tak kesiankan Budi, tapi Raees. Mesti tak selesa tunggu dalam kereta. Jangan risau. Abang takkan buat apa-apa pada kawan Nadi. Kalau abang ada buat benda tak elok, abang izinkan Nadi sendiri sumbat abang dalam lokap. Percayakan abang, okey?”
Tri mengelus kepala Nadi. Nadi menoleh ke Amanda yang terlantar tak sedarkan diri di atas katil hospital. Dahinya berkerut-kerut, masih berat hati meninggalkan Amanda berdua-duaan dengan Tri. Tidak pernah-pernah dia seperti ini. Tak tahu mengapa tiba-tiba dia bersikap lagaknya seorang ibu yang terlalu melindungi anaknya. Apakah kerana dia berasa terhutang budi pada Amanda kerana membantunya pada malam dia keluar dari rumah suatu ketika dahulu?
Jujur sebelum ini dia tak pernah tertarik mahu mengenali Amanda dengan lebih rapat. Amanda yang dia kenali agak pendiam. Hanya berbicara seperlunya. Baru kali ini dia melihat Amanda lebih lama daripada biasa. Dia mengalih pandang ke wajah Tri.
“Jaga kawan Nadi baik-baik. Awas ya kalau abang macam-macam. Nadi suruh papa sunatkan abang lagi sekali!” tegas Nadi memberi amaran.
Tri mengekek gelak. Apa yang dia boleh buat di bilik hospital? Nadi memberi amaran seolah-olah dia lelaki buaya yang pantang tengok perempuan. Nadi ingat dia tak ada otak ke?
“Ini telefon Amanda. Nak cari nombor keluarga dia tak boleh sebab ada password. Abang tolong pegangkan. Mana tahu ada keluarga dia cari dia nanti.”
Tri mengambil telefon pintar yang dihulurkan Nadi. Dia duduk di kerusi di tepi katil setelah Nadi keluar dari wad yang menempatkan Amanda.
Dia tak tahu kenapa dia membawa Amanda ke hospital swasta, padahal boleh saja dia bawa Amanda ke hospital kerajaan. Entahlah. Dia sendiri bingung dengan dirinya. Sejak pertama kali dia melihat Amanda, dia merasakan perangainya sudah agak pelik. Tanpa alasan yang jelas dia bersikap begitu.
Dahinya mengernyit memandang telefon Amanda yang sedang terkelip-kelip menandakan seseorang sedang menghubungi Amanda.
“Ameer.” Dia membaca nama yang di skrin telefon. Siapa Ameer? Teman lelaki Amanda ke? Ragu-ragu dia menjawab panggilan lelaki yang bernama Ameer itu.
“Hoi, betina! Kau kat mana? Siallah kau. Aku dah berjam tunggu kat sini sampai sekarang kau tak buka pintu. Kau mengongkek dengan jantan mana, hah? Kau balik nanti, siap aku belasah kau! Pelacur!”
Tidak mahu mendengar lebih banyak perkataan kurang ajar daripada mulut lelaki itu, Tri terus memutuskan talian. Dia meletakkan telefon Amanda di atas kabinet di tepi katil. Setelah itu dia menatap wajah Amanda yang tertidur pulas. Tangannya tergerak menyentuh dahi Amanda. Panas di tubuh Amanda semakin reda.
Demam panas dan tekanan darah Amanda agak rendah. Mungkin keletihan, mungkin stress, banyak kemungkinan yang menjadikan Amanda seperti itu. Tri tidak dapat mengagak jawapan yang betul. Dia tidak kenal Amanda. Sepertinya Nadi juga tidak rapat dengan Amanda.
Pandangannya sampai ke pipi Amanda. Jadi betullah dia tak salah memandang. Memang kesan lebam yang dia nampak sebelum Amanda pengsan dalam pelukannya. Wajah Amanda yang berpeluh menghapuskan solekan pada wajah itu.
Perlahan jarinya menyentuh pipi Amanda. Dia jadi terfikir siapa Ameer yang kurang ajar menelefon Amanda sebentar tadi. Dan siapa pula yang memukul Amanda?
“Kenapa aku sibuk?” soalnya pada diri sendiri. Dia melarikan jarinya daripada pipi Amanda. Seandainya Amanda sedar sewaktu dia masih memegang pipi Amanda mungkin wanita itu akan menjerit dan menuduhnya cuba berbuat tak senonoh.
Dia mengeluh perlahan. Tidak mengerti mengapa dia sibuk memikirkan masalah Amanda. Apa pun yang berlaku pada Amanda bukan urusannya.
Duduk santai sambil memeluk tubuh, tidak tahu harus berbuat apa selain memandang wajah manis Amanda. Bosan menunggu Amanda membuka mata. Bila agaknya Amanda akan terjaga?
Deringan telefon pintarnya mengalih perhatiannya daripada wajah Amanda. Dia mengeluh lagi saat membaca nama pemanggil yang tertera.
“Kat mana?” Tiada mukadimah, soalan itu terus ditanya.
“Hospital.”
“Hah, Tri kat hospital? Tri tak sihat ke? Macam mana Tri boleh sakit? Nadi tak bagi Tri makan ke kat rumah dia?” Cepat saja Datin Ameena buat andaian.
“Mama, rileks. Tri sihat.” Dia mengerling Amanda yang sedikit bergerak. “Kawan Tri yang sakit.”
“Oh, alhamdulillah. Lega mama dengar. Bila Tri nak balik rumah? Tak puas lagi menyusahkan Nadi dan Budi? Macam tak ada rumah aje pergi menginap kat sana. Tak malu ke kacau privacy rumah tangga orang?” Hilang risau, Datin Ameena bertanya garang.
“Mama, nanti Tri call mama semula ya. Tri…”
“Kenapa pula? Mama belum habis cakap.”
“Nanti, mama. Okey, mama. Bye…”
Tri memutuskan talian. Bukan dia sengaja tidak mahu mendengar bebelan Datin Ameena, tindakannya disebabkan pergerakan kecil yang dilakukan Amanda. Dia tegakkan badan. Bersiap sedia dengan segala kemungkinan.
BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5 • BAB 6
BELI NOVEL TRI + MANDA (PENULIS: AFNAN)