PERLAHAN-LAHAN Amanda membuka kelopak matanya yang terasa berat. Dia tersentak saat wajah pertama yang menyapa pandangan matanya adalah wajah Tri. Dia lebih terkejut dengan kenyataan dia sedang berbaring di atas sebuah katil. Apa dah jadi? Apa Tri dah buat pada dia?
“Hey, rileks. Saya tak buat apa-apa pada awak. Awak kat hospital,” jelas Tri yang perasan sinar mata Amanda menunjukkan wanita itu sedang menaruh curiga padanya.
Amanda menghembus nafas lega. Jadi dia di hospital. Eh, kat mana dia tadi?
“Saya kat mana?”
“Hospital.”
“Hospital?” Dia terkejut sampai terduduk. Kepalanya sakit, namun itu tak menghalang dia melihat sekeliling bilik.
“Kenapa dengan saya?”
“Awak demam. Blood pressure rendah.”
Demam pun nak masuk hospital. Dasar anak orang kaya. Suka menghabiskan duit untuk sesuatu yang tidak berfaedah. Eh, anak orang kaya? Dia terkelip-kelip saat menyedari wadnya bukan wad biasa. Tiada katil lain di dalam wad ini melainkan katil yang dia duduki sekarang.
“Saya dekat wad VIP?”
Tri angguk.
Amanda panik. Demi TUHAN, kenapa Tri bawa dia ke hospital swasta dan masukkan dia ke wad VIP? Dia mana ada duit nak bayar cas rawatan di sini. Bergegas Amanda cuba turun dari katil. Tak menyedari di kekura tangannya tercucuk IV drip.
“Aduh!” Dia mengaduh kesakitan.
“Awak nak pergi mana?” soal Tri memegang lengan Amanda.
“Balik.”
“Awak sakit, Amanda.”
“Saya dah sihat.”
“Yakin awak dah sihat?” Tri mendekatkan mukanya dengan muka Amanda. Spontan Amanda mengundurkan tubuhnya mengelakkan diri daripada Tri. Nyaris saja bibir Tri menyentuh wajahnya.
“Baring!” arah Tri.
“Saya nak balik!” Dia tidak mahu terus berada di sini. Wad berprestij ini tidak sesuai dengannya.
“Ah, degilnya awak ni!” Tri menolak bahu Amanda lembut sehingga wanita itu terbaring semula.
“Encik Tri, tolonglah…”
“Nama saya Tri. Saya bukan bos awak. Dan kita bukan kat tempat formal.” Tri menarik selimut di kaki Amanda lalu tubuh Amanda diselimut sehingga ke paras pinggang.
“Saya nak balik.”
“Awak takkan pergi ke mana-mana,” balas Tri tegas.
“Tri, tolonglah. Saya… saya tak ada duit nak bayar rawatan kat sini.” Mahu tak mahu Amanda terpaksa berterus-terang. Di dalam beg duitnya hanya ada beberapa puluh ringgit.
“Tak apa. Saya bayarkan.” Seharusnya masalah Amanda selesai bila Tri berkata begitu, tetapi Amanda tetap tergeleng-geleng.
“Tri, tolonglah. Saya nak balik,” rayu Amanda. Dia tidak mahu terhutang budi.
“Awak nak balik?”
Amanda angguk sungguh-sungguh.
“Boleh.”
Amanda lega, namun dia agak terkejut bila Tri tetap menahan bahunya daripada bangun.
“Saya belum habis cakap. Boleh kalau awak nak balik, tapi tunggu botol drip tu kosong dulu.”
Amanda menjeling botol yang tergantung di sebelah kiri katil. Masih tinggal separuh botol. Apa dia nak buat sementara menunggu botol itu kosong? Dia segan sungguh berbaring seperti ini di hadapan Tri. Pemikirannya itu membuat pipinya merona kemerahan. Dia terkebil-kebil sewaktu telapak tangan Tri melekap di dahinya.
“Tak panas. Tapi kenapa pipi awak merah?”
Soalan Tri membuat pipi Amanda semakin merah. Lelaki ini gila. Mereka tidak saling mengenali, tetapi sedari awal berjumpa tingkahnya sudah ajaib. Bertindak semahunya dan sekarang memaksa Amanda mengikut keinginannya.
Amanda menepis tangan Tri yang beralih menyentuh pipinya. Matanya terjegil. Tri ni sejenis buaya darat ke? Tak sopan sungguh pegang-pegang perempuan. Lantaran Tri baik hati membayarkan duit rawatan yang sepatutnya tak seberapa tetapi menjadi sangat wow bayarannya, dia harus terima apa saja perlakuan Tri padanya? In your dream, mister! Dia bukan perempuan murahan!
“Pipi awak lebam. Siapa pukul awak?”
Mendengar soalan Tri, semakin bulat jegilan Amanda. Dia lupa pada lebam yang terdapat di pipinya. Bergegas telapak tangannya ditekap di pipi, berusaha menutup lebam yang tak sepatutnya dilihat orang lain.
“Tak payah tutup. Saya dah nampak sebelum awak pengsan lagi.” Tri memeluk tubuh. Pandangannya tunak ke wajah Amanda. “Siapa yang pukul awak? Suami awak? Boyfriend? Keluarga?”
Kening Tri terangkat. “Partner awak sejenis manusia abusive yang suka pukul perempuan ke?”
Amanda menggetap gigi. “Kita baru aje kenal. Saya tak tahu awak siapa. Awak pun tak tahu saya siapa.”
“Awak Amanda, kawan Nadi.”
“Bukan itu maksud saya!”
“Then?”
“Masalah saya tak ada kena mengena dengan awak!”
Oh, Amanda marah dia bertanyakan punca lebam di pipi Amanda. Tri menarik senyum sinis.
“Then, should I leave you alone?”
“Eh, Encik…” Refleks Amanda memegang lengan Tri yang mahu bangun. Gila! Jika Tri meninggalkannya, siapa yang nak bayar kos rawatan dia? Dia mana ada duit sekarang! “Sa… saya min…ta maaf.”
Bibirnya digetap. Dia malu. Serba salah nak bersikap. Dia tak suka Tri bertanyakan masalah peribadinya. Dia juga tidak mahu terhutang budi pada Tri. Masalahnya sudah cukup banyak, dan sekarang dia terpaksa menambah masalah yang sepatutnya boleh dielakkan.”
Tri melepaskan tangan Amanda di lengannya. Dia kembali duduk. Amanda yang melihat menarik nafas lega.
“Rehat. Pejam mata. Tidur. Atau buat apa saja sementara tunggu botol tu kosong. Kalau kehadiran saya kat sini buat awak tak selesa, jangan hiraukan saya. Awak boleh buat macam saya tak wujud kat sini,” ujar Tri.
Mana mungkin Amanda bersikap begitu. Tri bukannya halimunan yang tak nampak dek pandangan mata. Hatinya tak setegar itu nak bersikap seperti yang dinyatakan Tri.
“Oh, by the way tadi masa awak tak sedar, ada lelaki telefon awak. Kalau tak silap nama dia Ameer.”
Mendadak raut wajah Amanda berubah. Jantungnya berdebar keras. Ameer menghubunginya dan Tri menjawab panggilan Ameer? Apa yang Ameer cakap dan apa yang Tri dengar? Dia menunggu kalau-kalau Tri akan bertanya lagi, tetapi Tri tetap senyap. Hanya menatapnya dengan pandangan datar.
Dia mendengar Tri melepas keluhan perlahan. Tri sedikit bergerak, tangan Tri lepas daripada memeluk tubuh sendiri. Nafasnya tersekat ketika telapak tangan Tri mengusap kelopak matanya membuat matanya tertutup.
“Tidur!” arah Tri.
Mahu tak mahu Amanda memaksa matanya tetap tertutup walau sebenarnya dia terlalu ingin mengintai apa yang sedang dilakukan Tri.
“Tidur, Amanda. Saya nampak bola mata awak bergerak.”
Amanda menahan nafas. Suara Tri begitu dekat dengan telinganya. Hembusan nafas Tri menyapu lembut kulit pipinya. Dia menyorokkan tangan di bawah selimut supaya Tri tak nampak getaran tubuhnya yang ketakutan.
Dia mendengar bunyi kerusi bergerak. Derap kasut seakan sedang berjalan menjauhi katil tempatnya berbaring. Dia memberanikan diri membuka mata. Tri sedang merebahkan tubuh di atas sofa.
Ah, dia terlalu buruk sangka! Tri sedang membantunya, dia malahan berfikir sesuatu yang buruk tentang Tri. Inikah caranya dia berterima kasih pada Tri? Meskipun dia tak mahu terhutang budi, namun jelaslah budi Tri sudah tak mampu ditolak. Dia terlanjur menerima meskipun hal itu berlaku di luar kemahuannya.
Keluhan tipis dilepaskan. Wajah Ameer terbayang di ruang mata. Membayangkan habuan apa lagi yang akan diberikan Ameer setelah mereka berjumpa nanti. Hanya dengan berfikiran begitu, badannya sudah menggigil-gigil. Tak dapat dibayangkan kesakitan yang akan ditanggung sekujur tubuhnya kelak. Ameer pasti takkan lepaskan peluang untuk membelasahnya.
BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5 • BAB 6
BELI NOVEL TRI + MANDA (PENULIS: AFNAN)