Tri + Manda – Bab 6

TRI memarkirkan keretanya di sebuah petak parkir kosong. Dia buat tak endah dengan permintaan Amanda yang memintanya menurunkan wanita itu di hadapan pos pengawal.

“Sistem keselamatan kat sini memang sambil lewa macam tu ke? Sesiapa aje boleh masuk kawasan apartmen?” soal Tri kepada Amanda. Sebelum masuk pintu pagar apartmen memang terdapat pos pengawal dan pengawal. Namun, sesiapa saja bebas keluar masuk kawasan apartmen, tak kira penghuni atau bukan. 

“Saya bukan duduk kawasan apartmen elit,” jawab Amanda. Dia tak faham kenapa Tri persoalkan sistem keselamatan di sini. Bukannya Tri tinggal di sini sampai Tri nak hebohkan hal itu.

Tri mengerling Amanda yang sedang membuka tali pinggang keledar. Dia tak suka cara Amanda memandang ringan soal keselamatan diri. Dia yakin di kawasan apartmen seperti ini pasti penghuninya pelbagai bangsa dan warganegara. Tidakkah Amanda sedikit waswas dengan keselamatan diri? 

“Terima kasih tolong saya.” Amanda memandang Tri yang turut memandangnya. “Saya akan cuba usahakan bayar duit awak secepat mungkin.”

“Duit apa?”

Baru saja beberapa jam yang lalu Tri membayarkan kos rawatannya di sebuah hospital swasta, sekarang Tri sudah melupakan kenyataan itu? Banyak sangat ke duit Tri? Dia dah tahu hakikat Nadi anak orang kaya, tetapi Tri tidak kelihatan

seperti lelaki yang mempunyai banyak duit. Mungkin lebih berada jika dibandingkan 

dengannya, tetapi dia tak yakin Tri sekaya Nadi sehingga sekelip mata melupakan duit yang Tri keluarkan tak lama sebelum percakapan ini berlaku. 

“Duit bayaran hospital.”

“Oh, saya tak minta awak bayar pun.”

“Awak banyak duit sangat ke?”

Tri angkat bahu. 

“Saya akan bayar duit awak semula. Saya tak suka terhutang budi.”

Tri tak membalas kata-kata Amanda. Dia keluar dari kereta serentak dengan Amanda. 

“Awak nak pergi mana?” soal Amanda apabila Tri kelihatan seperti mengekorinya. Tri ada kawan yang tinggal di sini ke? 

“Hantar awak.”

“Hah? Buat apa?”

“Hari dah malam.”

Benar hari sudah malam. Bukannya Amanda tak biasa pulang pada waktu seperti ini. 

Tak pernah pula dia berasa takut. Lagipun selama ini aman saja hidupnya. Dia tak pernah mempunyai pengalaman buruk sepanjang tinggal di sini, kecuali sejak Ameer hadir semula dalam hidupnya. 

“Saya boleh naik sendiri.”

“Tak boleh ke awak ucap sesuatu yang lebih bermakna misalannya, terima kasih?”

Amanda menjulingkan mata. 

“Awak duduk blok mana?”

Seriuslah Tri bersungguh mahu menghantarnya sampai di hadapan pintu apartmen? Malas berdebat lebih panjang dengan Tri, Amanda melajukan langkah ke lif. 

Bangunan apartmen yang dia tinggal hanya mempunyai dua blok. Apartmen 24 tingkat, dan dia tinggal di tingkat 10.

“Awak tinggal dengan siapa kat sini?”

“Sorang.” Buat masa ini kenyataannya begitu. Amanda tidak berhajat bercerita lebih banyak pada Tri. Malam ini mungkin malam terakhir mereka bertemu. Selepas ini tidak akan ada pertemuan lain. Dia juga tak berniat memberitahu Tri beberapa hari lagi dia perlu keluar dari apartmen kerana tidak mempunyai duit untuk membayar sewa apartmen. 

“Awak kerja kat mana, Amanda?”

Besar sangat ke gaji Amanda sehingga mampu menyewa apartmen seorang diri? Jarang sangat dia dengar orang menyewa apartmen seorang diri melainkan orang itu bergaji besar. 

Amanda memutuskan untuk tidak menjawab pertanyaan Tri. Dia tidak tahu kenapa Tri kelihatan seperti seorang anggota polis yang berusaha melengkapkan kertas siasatan dengan mengorek banyak hal peribadinya. Dia tak ingin berkongsi apa pun maklumat peribadinya dengan Tri. Seharusnya Tri tidak perlu menghantarnya naik. Dia bukan budak kecil. Dia sudah biasa berdikari sejak remaja. 

“Boleh berikan saya kad awak?” soal Tri sambil bersandar santai ke dinding lif. 

“Nak buat apa?” balas Amanda sedikit menjauhi Tri. 

“Supaya senang saya nak minta hutang. Tadi awak kata tak nak terhutang budi, kan?”

Pipi Amanda merona mendengar jawapan selamba Tri, bukan kerana dia tersipu-sipu, sebaliknya dia malu dengan Tri. 

“Saya tak ada kad.”

“Oh, okey. Kalau macam tu bagi saya nombor telefon awak.”

Amanda mengeluh perlahan. Sampai bila dia perlu berurusan dengan Tri? Perlu ke dia keluarkan semua duit simpanannya dan membayar duit Tri supaya mereka tidak perlu berurusan lagi? Dia menghulurkan telefon pintarnya kepada Tri. 

“Password?”

“Tak ada.”

“Nadi kata ada.”

“Dia salah tengok kut.”

Tiada yang penting di situ. Tiada data rahsia. Telefon itu sudah lama. Kalau tercicir mungkin tiada siapa yang sudi mengutipnya. 

Tri menggeser skrin dengan ibu jarinya. Seperti yang diberitahu, telefon Amanda tak mempunyai kata kunci. Dia menghubungi nombor telefonnya sendiri menggunakan nombor Amanda. Menyimpan nombornya dan nombor Amanda ke dalam buku telefon masing-masing. Setelah itu telefon itu diserahkan kepada pemiliknya semula.

Lif berhenti di tingkat 10. “Saya dah sampai. Terima kasih hantar saya. Nanti saya telefon awak bila saya dah ada duit. Eh, awak nak pergi mana?” 

“Hantar awak depan pintu.”

“Tak perlu, Tri. Saya boleh…”

Bicara Amanda terhenti. Lif ini tidak begitu dekat dengan apartmennya, tetapi dia boleh mendengar dengan jelas suara orang terjerit-jerit memanggil namanya. Dia yakin suara itu milik Ameer. Perlahan-lahan dia berjalan tanpa mengeluarkan bunyi. 

Tri menurut perbuatan Amanda. Dia mengeluarkan kepalanya sedikit, mengintai seorang lelaki yang sedang mengetuk pintu sambil terjerit-jerit memanggil nama Amanda. 

Hoi, Amanda! Buka pintu ni! Buka cepat. Aku bilang sampai tiga. Kalau aku dapat masuk dalam rumah kau, siap kau aku belasah sampai mampus. Amanda!”

Amanda mengepal tangannya kuat. Bagaimana cara dia pulang jika Ameer menunggunya di hadapan pintu seperti itu? Abangnya itu tidak kelihatan seperti orang sedang waras. Ah, dalam keadaan biasa pun Ameer sentiasa bersikap tidak waras, apatah lagi dalam keadaan seperti sekarang. 

Tanpa disedari Amanda berundur ke belakang, sedikit tersentak saat belakangnya melanggar Tri. Dia memandang wajah Tri dengan sorot mata yang tak terbaca. Tidak tahu apa yang harus dikata atau dilakukan. Jantungnya berdegup kencang, nafasnya memburu tidak beraturan. 

“Amanda?” panggil Tri. Dia menyentuh tangan Amanda yang menggigil. Wajah Amanda pucat lesi. Dia yakin lelaki itu yang membuat lebam di wajah Amanda.

Di luar kesedarannya dia menarik tangan Amanda masuk ke dalam lif semula. Amanda tidak menolak sewaktu tangan besarnya menggenggam kemas tangan Amanda yang begitu kecil dan rapuh dalam genggamannya. Dia tidak tahu apa sebenarnya yang sedang dia lakukan, betul atau tidak tindakannya, tetapi nalurinya memberitahu dia tidak boleh meninggalkan Amanda di situ.


BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4   BAB 5 BAB 6


BELI NOVEL TRI + MANDA (PENULIS: AFNAN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *