Wardah – Bab 1

“KENDURI macam mana?”

“Nak buat macam mana kalau dah pengsan macam tu. Takkan nak angkut pergi dewan pula.” Ketus jawapan umi. Tak habis fikir macam mana Mawar boleh pengsan.

Pening dia nak menjawab dengan para tetamu. Buat hal betul. Tak boleh ke pengsan lepas dah selesai majlis? Lepas tu nak pengsan tak bangun-bangun sampai ke sudah pun dia dah tak peduli. Memalukan keluarga saja.

Tak mungkin mereka membatalkan kenduri yang persiapannya telah matang. Tinggal masa menerima tetamu. Dan lebih tak mungkin mereka membiarkan Mawar melayan tetamu yang pastinya berduyun-duyun hadir nanti.

Haih, sakit kepala dia!

“Tak apa ke, umi?”

“Dah tu nak buat macam mana lagi? Kalau kita bawa dia ke sana juga, pengsan lagi, bertambah gegar kampung ni karang. Ini pun dah satu hal nak menjawab bila orang tanya.”

“Alfi minta maaf.”

“Kenapa pula Alfi yang minta maaf? Alfi ke yang pengsan.”

“Mawar isteri Alfi.”

Umi mendengus. Tak suka mendengar kenyataan itu.

“Alfi ikut umilah. Biar Alfi yang jawab kalau orang tanya.” Alfian beri cadangan.

“Tak payah. Temankan budak tu. Buatnya nanti dia makin teruk, terjerit-jerit macam orang gila ke, mati ke…”

“Umi…” Alfian tak suka ayat yang barusan terucap dari bibir umi. Kedengaran melampau. Macam mendoakan kematian Mawar pula. Umi teringin nak tengok dia jadi duda buat kali kedua ke? Buatnya masin mulut umi…

“Umi pergi dulu.”

Alfian mengeluh perlahan. Memerhatikan umi yang mula melangkah meninggalkan dirinya. Menoleh ke arah pintu bilik yang separa tertutup, lagi-lagi keluhannya terlepas dari rengkung. Dia tergeleng-geleng.

Jangan nanti tiba-tiba tular berita pengantin perempuan pengsan pada hari pernikahan sudah. Zaman sekarang bukan boleh kira. Manusia mudah betul menjaja aib manusia lain demi secebis content. Makin tenat dunia, makin ramai manusia yang hilang malu.

Suara orang berbual di luar bilik menyapa halus pendengaran Mawar yang baru terjaga daripada pengsan. Pandangannya melingas ke setiap ceruk bilik yang terlihat asing.

Nafasnya kembali rasa tersekat. Apatah lagi bila tangannya menyentuh sepasang baju kurung moden berwarna putih yang tersarung di tubuh.

Argh, benar-benar bukan mimpi. Dia telah berjaya dinikahkan abi. Abi yang akur dengan kehendak umi yang begitu obses dengan keluarga ini.

Mereka yang berdosa, dia yang perlu menanggung akibat. Sampai hati umi dan abi. Tega menyerahkan dia ke tangan musuh.

Bunyi pintu dibuka membuat tubuhnya mendadak menegang. Dadanya berdebar keras. Dia cuba memejam kembali matanya, namun terlambat kerana pandangan lelaki yang baru melangkah masuk ke dalam bilik telah bertembung dengan pandangannya.

Dia menggigil-gigil di atas katil. Tubuh terasa beku. Melihat pandangan yang begitu tajam bagaikan menguliti seluruh tubuhnya yang masih berpakaian lengkap, rasanya dia ingin meminta pada TUHAN agar segera mencabut nyawanya. Namun, hal itu sangat mustahil. Dia belum mahu mati!

Alfian menghampiri katil. Direnung wajah Mawar yang pucat lesi. Dia tak pernah membayangkan pada hari pernikahannya, pengantin perempuan yang dinikahi dalam keadaan separuh rela tiba-tiba tidak sedarkan diri.

Kenapa dia cakap separuh rela? Dia tak kisah menikah, tetapi dia keberatan menikahi gadis semuda Mawar. Perbezaan usia mereka begitu ketara. 12 tahun bukan sikit, ya! Lagi-lagi bila dia tahu Mawar menentang keras pernikahan mereka.

Aduhai, nak terlanjur menyesal dah tak boleh. Mereka telah pun menikah. Nak tak nak mereka harus menerima takdir yang telah berlaku. Tiada pernikahan yang berlaku secara kebetulan, melainkan kerana takdir ALLAH mengizinkan semua itu berlaku.

Seharusnya selepas akad nikah, mereka akan diraikan dalam sebuah majlis di sebuah dewan yang memang biasa disewa oleh penduduk yang mahu mengadakan kenduri kahwin. Bukan tak boleh dibuat di rumah saja, tetapi mereka mahu memudahkan keadaan. Usai majlis tak terlalu letih mengemas rumah.

Alfian labuhkan duduk di sebelah Mawar yang turut menatapnya. Bola mata gadis itu membulat besar. Tatapannya seperti mengandungi ketakutan. Matanya bercahaya lantaran tubir mata yang digenangi air.

Apa yang sedang Mawar fikirkan? Bahawasanya dia seekor raksasa yang bersedia menerkam mangsanya yang tidak berdaya? Pemikiran itu berjaya mencarikkan senyum pada bibirnya.

Tangannya terangkat menyentuh dahi Mawar.

“A….wak nak buat apa?” Suara Mawar tersekat-sekat.  Dia berusaha untuk tidak terlihat takut, tetapi dia tahu usahanya tidak berjaya. Wajah paniknya pasti terlihat jelas. Alfian mungkin sedang mentertawakannya dalam hati.

“Mawar rasa saya nak buat apa?”

Dari wajah, pandangannya terhala ke dada Mawar. Siapa yang mereka baju kurung ini? Orang sihat pun boleh jadi tak sihat jika mengenakan baju ini. Bukan main ketat lagi. Dengan butang-butang bulat bersusun di bahagian hadapan baju.

Umi sepatutnya membuka lebih daripada dua butang, baru pernafasan Mawar lebih selesa. Macam-macamlah. Nanti dia akan bising dengan Arafah dan Ainun. Kenapa tak belikan baju kurung biasa saja untuk Mawar. Kenapa perlu berbaju kurung moden dengan rekaan yang rumit seperti ini. Cantik, tetapi matanya yang memandang berasa tidak selesa. Tak dapat dia bayangkan Mawar yang telah mengenakan baju ini sejak beberapa jam sebelum akad nikah mereka.

“Hei!” Mawar spontan menampar tangan Alfian yang sedang menyentuh dadanya. Oh, bukan dada yang itu. Tapi tetap saja tangan Alfian sekarang…

Alfian tak peduli dengan pemberontakan Mawar yang mendadak mendapat kekuatan super saiya. Bergegar-gegar katil kerana pemberontakan Mawar. Tak fasal katil ini runtuh sebelum mereka sempat meraikan malam pertama mereka.

“Hesy, budak ni! Diam sekejap boleh tak?”

Heh, suruh dia diam pula! Takkan dia nak biar Alfian sentuh dia sesuka hati. Dia bukan patung!

“Mawar!” Suara Alfian yang melengking keras membuat pemberontakan Mawar seketika terhenti. Matanya dijegil.

“Awak ingat saya nak buat apa siang-siang buta macam ni? Saya nak tolong bukakan butang baju awak ni je!” Jarinya segera menekan butang berwarna putih itu supaya keluar dari lubang.

Usai tiga butang dibuka dia mendengus. Mawar dilepaskan. Bangun dari katil dia menjeling Mawar.

“Saya nak pergi mandi. Awak pun mandi juga. Awak sihat, kan? Period ke tak? Kalau tak period, solat! Bilik air kat situ.” Jari Alfian menuding ke pintu bilik air yang terdapat dalam biliknya.

Terkulat-kulat Mawar menatap belakang Alfian yang keluar dari bilik dengan membawa sepasang persalinan.

Rasa takut Mawar seketika sirna, digantikan dengan perasaan jengkel dan marah. Dia terduduk di atas katil.

Dia marah sampai rasa nak menangis. Nak memberontak, tapi dia tahu tak siapa mahu mendengar suaranya. Adanya dia di sini bukan angkara orang lain, keluarganya sendiri yang menghantar dia ke neraka dunia ini.

Nak lari? Ke mana hala tujunya? Kalau dia ada kekuatan lebih, pasti itu hal pertama yang akan dilakukan bila dipaksa menikah dengan lelaki yang tidak dia kenali. Tetapi, dia tidak mahu menambahkan masalah. Kesihatan umi pasti akan merosot jika dia nekad melarikan diri.

Menyelak selimut yang menutupi tubuh sampai ke pinggang, dia turun dari katil. Dia tidak terus ke bilik air, sebaliknya dia menuju ke sebuah almari solek yang terdapat di dalam bilik itu.

Merenung dirinya dalam balutan baju kurung moden yang berwarna putih. Pandangannya tertancap pada lima butang yang telah terbuka pada bahagian dada. Tidak mendedahkan anggota tubuhnya yang sulit. Sedang-sedang elok terbuka. Membuat nafasnya yang sesak dengan pelbagai rasa yang bergelayut resah dalam dada sepanjang menunggu akad nikah berlangsung, kini semakin teratur.

Sewaktu jurunikah bertanya kesediaannya menjadi isteri Alfian ingin saja dia melaung, dia tidak sudi! Dia dipaksa menikah! Namun, pandangan umi yang penuh berharap menerbitkan rasa simpati. Mahu tak mahu dia perlu bersetuju. Suka atau tidak, dia tetap harus meneruskan permainan dendam ini.

“Tak mandi lagi?”

“Astaghfirullah al-azim.” Mawar mengurut dada.

Alfian muncul dengan rambut basah. Baju Melayu berganti dengan baju-t hijau lumut dan seluar longgar berwarna hitam. Jika dalam keadaan normal dia pasti akan merona melihat Alfian di hadapan mata. Maklumlah kali pertama sebilik dengan lelaki ajnabi. Masalahnya sekarang keadaan mereka tidak normal. Mereka, dua orang manusia asing yang dipaksa menikah demi memenuhi permintaan tak masuk akal orang tua mereka. Semuanya gara-gara dendam kerana tragedi beberapa tahun silam.

Ekor mata Mawar mengekori langkah Alfian yang berakhir di birai katil. Lelaki itu sedang mengeringkan rambut. Pandangan mereka bertembung dalam biasan cermin yang menampilkan wajahnya yang kusut dan wajah Alfian yang terlebih segar.

“Tengok apa lagi?” soal Alfian. Nada suaranya biasa saja, yang kedengaran di pendengaran Mawar nada yang kerek dan sedikit mengarah.

“Tak nak mandi?”

“Nak mandilah ni,” jawab Mawar geram. Dia menjeling Alfian yang berwajah selamba. Alfian buat bodoh.

“Mawar…” Panggilnya sebelum Mawar sempat masuk ke dalam bilik air.

Mawar menoleh. Wajah gadis itu masam mencuka.

“Apa lagi? Tadi suruh mandi. Orang nak mandi dia panggil-panggil pula.”

“Tak nak bawa tuala masuk bilik air ke?”

Eh? Ya tak ya juga. Marah punya pasal dia terlupa barang yang paling penting itu. Dia tercari-cari beg bajunya. Umi belum hantar ke sini lagi ke? Aduh, dia nak pakai apa lepas ni? Takkan nak pakai baju kurung ni semula? Tak selesa betul. Menyesal dia ikut bulat-bulat pilihan keluarga mereka. Kalau dia tahu jadi macam ni baik dia pilih semuanya sendiri.

“Nah.” Sehelai tuala muncul di hadapan muka.

Mawar pandang wajah Alfian yang berdiri di hadapannya. Wah, boleh tahan tinggi suami dia. Handsome juga. Boleh tahanlah. Sempat lagi dia membuat penilaian terhadap Alfian.

Sebelum akad nikah tadi dia tak ada masa nak pandang Alfian. Maklum sajalah hati tengah bersedih, jiwa pula diusik amarah. Apatah lagi sebelum ini dia belum betul-betul berkenalan dengan Alfian. Mana taknya, dia marah betul bila umi sodorkan dirinya kepada keluarga Alfian.

Dia bertambah marah bila tahu Alfian seorang duda yang sudah berusia 35 tahun. Haih, tak padan langsung dengan dia yang baru berusia 23 tahun. Bercinta pun dia tak pernah. Setakat ada crush saja. Baru dia ingat nak cari kekasih hati selepas dia tamat belajar, tahu-tahu abi nikahkan dia dengan manusia tinggi depan dia sekarang. Handsome nak mati pun dia jadi susah nak suka kalau dah begini gaya kena paksa.

“Awak pening lagi ke, Mawar? Asyik termenung je. Ke awak risau nak share tuala dengan saya? Tak payah risaulah. Saya tak ada penyakit kulit. Panau, kurap semua tak ada.” Ujar Alfian bila Mawar tak ambil-ambil tuala yang dia hulurkan.

“Nak bukti ke?”

“Bukti apa?”

“Bukti badan saya tak ada kurap dengan panau.”

Eh? Reaksi Mawar yang terkebil-kebil, membuat Alfian tergeleng-geleng. Apa entah masalah si Mawar ni. Tak habis blur lagi ke?

Dia pandang baju kurung yang melekap di tubuh Mawar. “Ke awak nak saya tolong awak buka baju tu? Macam ketat je saya tengok.”

“Hei, awak tengok apa? Pervert!” Mawar menutup dadanya dengan sebelah tangan. Sebelah tangan lagi mencapai tuala di tangan Alfian. Bergegas dia masuk ke bilik air sembari menghempas pintu.

Alfian angkat bahu. Tak peduli dengan gelaran pervert yang diberikan Mawar.

Pervert apa kebenda? Memandai saja tuduh dia begitu. Tunjuk betul-betul makna pervert baru Mawar tahu.

“Mawar!”

“Apa lagi?” Gadis itu sedikit melaung. Bengang!

“Pintu bilik air ni kalau tercabut awak kena ganti. Amalkan selalu hempas pintu!” Tegur Alfian di sebalik pintu bilik air yang berkunci.

Mawar mencebik. Dia mengajuk bicara Alfian. Siapa suruh Alfian menggatal dengan dia? Huh!


PROLOG  BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4   BAB 5


BELI NOVEL WARDAH (PENULIS: AK RAFFHAN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *