Wardah – Bab 2

WAJAH lesu umi terpampang di hadapan mata. Abi berdiri di belakang kerusi roda umi. Pada wajah orang tuanya selain beriak letih, langsung tak tergambar riak penuh kerisauan. 

Dia semakin kecewa. Memikirkan bagaimana umi dan abi begitu tenang melepaskannya masuk ke dalam keluarga ini. Tidakkah ada sekelumit simpati di hati mereka untuknya?

“Jaga perangai masa duduk kat sini. Jangan melawan cakap suami dan mentua.”

Nasihat umi seolah-olah dia seorang anak yang degil. Padahal dahulu sewaktu umi membuat rancangan jahat itu, dia tak pernah masuk campur. Tak terlibat dan tidak tahu menahu langsung tentang hal itu. Mudah jadi umi. Lepas tangan setelah ada korban yang menurut umi mampu menebus segala dosa-dosa umi.

“Kenapa cepat sangat umi dan abi nak balik?”

Tak sabar betul mereka nak tinggalkan dia di sini.

“Abi kerja esok.”

Jawapan yang sangat tak masuk akal! Macamlah abi tak boleh bercuti lama sikit. Bercuti lama untuk melancong boleh, takkan bercuti lama sikit atas alasan anak berkahwin, tak boleh? Umi ingat dia budak-budak ke? Bodoh sangat nak percaya alasan umi?

“Kaki umi sakit…” Telapak tangan umi menyentuh paha kiri umi. Nada suara umi meminta simpati Mawar.

Pandangan Mawar jatuh pada kaki umi yang ditutup dengan sehelai kain. Dia sayangkan umi. Mahu tidak mahu bukan hanya secebis simpati yang muncul untuk umi, bahkan melimpah ruah sehingga dia tak tahu di mana lagi nak sorokkan perasaan simpatinya.

“Tapi dah tengah malam. Mawar…”

Dia takut tinggal di sini. Rumah ini begitu asing dengannya. Umi sendiri tak begitu mengenali keluarga mentuanya, apatah lagi dia. Seram rasanya nak bertahan lama di sini. Kalau dia tak fikirkan umi dan abi, dia pasti akan larikan diri dari sini nanti.

“Abi okey. Muaz boleh gilir-gilir bawa kereta dengan abi.”

Mawar menoleh pada adik-adiknya yang berada dalam kereta abi. Kak Sai pun ada sekali. Tak seorang menghampirinya. Tiada yang bertanya tentang tragedi pengsan tengah hari tadi. Masing-masing seperti sudah tak sabar nak pulang. Seronok agaknya mahu meninggalkan dia di sini. Tak perlu mereka yang dijadikan alat untuk menebus dosa yang telah dilakukan orang tua mereka. Cukup dia saja. 

Sontak dadanya dipenuhi dengan pelbagai rasa yang semakin kuat menekan dadanya. Nafasnya kembali sesak. 

“Umi balik dulu.”

Tiada pelukan mesra. Umi membiarkan dia tercegat seperti orang bodoh di tengah halaman rumah keluarga barunya. 

Keluarga? Layakkah dia memanggil mereka dengan sebutan itu. Dia tidak tahu apa yang akan terjadi padanya selepas ini. Dalam fikirannya hanya terbayang yang buruk-buruk saja.

“JEMPUT dia masuk, Alfi.  Dia mesti sedih tengok keluarga dia balik.” Mood umi macam roller coaster. Sekejap marahkan Mawar, sekejap tunjukkan rasa simpati. Orang yang melihat pasti akan mengatakan umi mengalami kecelaruan identiti. Tak tetap pendirian, tak tahu sebenarnya umi benci atau tidak pada Mawar.

Mendengar arahan umi, tanpa banyak soal Alfian yang tadinya hanya menunggu di beranda selepas berbicara sepatah dua kata dengan abi Mawar, keluar semula ke halaman rumah.

Kereta abi Mawar sudah beberapa minit hilang dari pandangan, Mawar masih juga di situ. Terpacak di tengah halaman rumah bagaikan kakinya dipasak ke tanah dengan beribu paku yang tak kasatmata.

“Mawar…” Bahu Mawar disentuh perlahan.

Mawar tak bergeming. Kalau boleh tidur berdiri memang dia tidur berdiri di halaman rumah malam ini. Dia tidak mahu sebilik dengan Alfian.

Malam ini malam pertama mereka. Bagaimana jika Alfian meminta hak sebagai seorang suami? Apakah dia boleh menolak? Dia tak bersedia…

Rangkulan di bahunya membuat tubuhnya menegang. Berani betul Alfian sentuh dia…

“Jangan menolak. Umi tengah tengok kita kat beranda. Awak tak nak ada masalah timbul, kan?” Bisikan suara Alfian yang begitu dekat dengan cuping telinga menegakkan bulu kuduk. Nafas Alfian yang menyapu pipinya menimbulkan getaran yang bukan sedikit.

“Awak…” Siku menyentuh pinggang Alfian. Berusaha menolak Alfian dengan sopan. Dia tidak pasti Alfian berkata benar atau tidak, tetapi dia tahu dia perlu berwaspada. Mungkin benar umi Alfian sedang memerhatikan mereka.

“Jom, masuk. Pengantin baru tak elok berembun. Malam ni malam pertama kita, kan?” Bisik Alfian lagi.

Mawar menggetap bibir. Kenapa malam pertama pula yang disebut Alfian? Dia mengerling Alfian. Lututnya lemah nak melangkah. Tangan Alfian yang kejap merangkul bahu memaksa tubuhnya berpusing kembali ke rumah lelaki itu.

Dia tercari-cari kelibat umi di beranda yang terang-benderang. Cis, dia kena tipu! Kontan sikunya menyigung Alfian.

“Aduh!” Alfian mengaduh kecil. Dibalas dengan jelingan tajam Mawar.

“Padan muka awak. Siapa suruh awak tipu saya? Tadi awak kata umi tengok kita, tak ada pun umi,” rungutnya dengan bibir cemberut.

“Tadi umi ada. Umi baru je masuk. Awak yang tak sempat tengok, nak marah saya pula. Lagipun tak perlu ada umi pun, saya ada hak tau. Kalau saya tahu awak takut sangat dengan umi, saya dah cium awak tadi. Mesti awak tak berani menolak, kan?” Usik Alfian.

“Hei!” Jari Mawar ternaik nak menuding ke wajah Alfian. Segera jarinya itu dipegang lelaki itu. Dia mencerlung.

“Boleh pula awak hei-hei dengan suami. Berdosa tau. Umi tak nampak, tapi TUHAN nampak. Awak lebih takutkan umi daripada TUHAN? Sesuatu sangat awak ni, kan?” Selamba wajah Alfian. Kening dijongket-jongket.

“Ingat, umi hanya boleh jadi tuan. Tapi tak boleh jadi TUHAN.”

Mawar terdiam. Mindanya sejenak dibawa berfikir. Siapa sebenarnya lelaki yang mengahwininya tengah hari tadi? Dia benar-benar tidak tahu.

Dia menelan liur. Gelisah memikirkan pelbagai kemungkinan yang sontak memenuhi benak. Dia hanya tahu usia dan status Alfian sebelum menikah dengannya.

Alfian berusia 35 tahun. Pernah menikah sekali. Dia tidak tahu mengapa Alfian menyandang gelaran duda. Bercerai dengan isterinya? Bercerai hidup atau mati? Alfian ada anak? Dia tak pasti, tetapi dia tak nampak atau dengar mana-mana budak yang pernah memanggil Alfian ayah. Mungkinkah bekas isteri Alfian tak mengizinkan anak-anaknya hadir ke majlis pernikahan Alfian?

Dia juga tidak tahu pekerjaan Alfian. Pendek kata dia lebih banyak tidak tahu daripada tahu. Peratus pengetahuannya tentang Alfian terlalu sedikit. Jika dia diminta menduduki ujian tentang siapa seorang Alfian, dia akan gagal sebelum menjawab soalan.

“Mawar…”

Genggaman tangan yang begitu erat pada jari jemarinya mengembalikan dia ke alam realiti. Sebelum dia sempat menarik tangannya, mereka telah pun masuk ke dalam rumah.

“Alfi tidur dulu, umi. Selamat malam,” ucap Alfian pada umi yang berdiri sembari memegang alat kawalan TV.

Umi mengangguk. Renungannya tajam ke wajah Mawar yang tiba-tiba menunduk. Dia memerhati sehingga dua susuk tubuh itu menghilang di sebalik susur tangga ke tingkat atas.

Setelah itu dia melepaskan keluhan panjang. Benaknya dipenuhi dengan pelbagai andaian dan persoalan. Dia tak ingin terlalu ambil pusing. Lantas dia menutup semua lampu di ruang tamu, kemudian masuk ke bilik tidurnya sendiri.

Gelisah dan resah menanti hari esok. Bimbang sekiranya dia tersilap percaturan. Bagaimana dengan masa depan anak sulungnya? Perkahwinan ini perkahwinan kedua Alfian. Dia tidak mahu mahligai yang baru dibina Alfian musnah begitu saja.

Allahu. Kenapa baru sekarang dia terfikirkan hal ini? Kenapa tidak sebelum dia meluapkan amarahnya ke wajah kedua orang tua Mawar?


PROLOG  BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4   BAB 5


BELI NOVEL WARDAH (PENULIS: AK RAFFHAN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *