PERGERAKAN yang kerap kali menyentuh tubuhnya akhirnya membuat Alfian terjaga. Dia terduduk sembari menatap Mawar yang tidur dengan dahi yang berkerut. Kenapa lagi dengan isterinya?
Malam tadi mereka tidak melakukan apa-apa. Tiada malam pertama. Sebaik saja mereka masuk ke dalam bilik dia terus menyuruh Mawar tidur. Gadis itu seketika terlopong. Mungkin Mawar sangka dia akan meminta haknya malam tadi.
Masa masih panjang. Bicara soal hak, masih ada lain waktu. Dia tak perlu tergesa-gesa sementelah dia bukannya duda gersang yang ketandusan belaian seorang wanita. Hubungan kelamin bukan prioriti selama dia hidup di dunia.
“Mawar…” Bahu Mawar digoncang perlahan. Mata Mawar tetap terpejam. Cuma tubuh gadis itu saja yang kelihatan tidak selesa dengan dahi yang berkerut seribu.
Dia mengikut arah pergerakan tangan Mawar yang memegang perut. Melihat Mawar yang seakan sedang menahan sakit, tangannya turut menyentuh perut Mawar. Perut Mawar ditekan sedikit. Disebabkan perbuatan yang barusan dia lakukan, mendadak Mawar terduduk. Mata gadis itu buntang menatapnya.
“Awak buat apa?” soal Mawar garang. Lupa seketika pada perutnya yang sakit kerana masuk angin.
Seharian dia tak makan. Berkurung saja dalam bilik. Bila Alfian ajak makan, laju dia menolak. Tak lapar konon. Sudahnya malam ini dia memaksa matanya terpejam dalam keadaan perutnya berkeroncong hebat.
“Awak sakit perut ke?”
Mawar tidak menjawab. Dia menatap curiga wajah Alfian. Gelap! Samar-samar saja wajah itu dapat menembusi kornea matanya.
“Puan Mawar, saya kalau nak awak, saya kejut aje awak. Tak ada makna saya nak buat diam-diam macam tu. Awak ingat awak patung ke?”
Mawar mencerlung garang. Kurang asam punya Alfian. Selamba saja dia berkata begitu pada Mawar. Mentang-mentang dia pernah berkahwin. Dia dah lupa ke Mawar masih anak dara? Tahu malu bila Alfian selamba berbicara seperti itu.
Alfian turun dari katil. Dia meraba dinding, mencari suis lampu. Sebaik saja suis ditekan, dia hampir terbahak melihat wajah baru bangun tidur Mawar. Rambut mengerbang, sikit lagi nak rupa singa betina.
“Apa tengok-tengok?” soal Mawar berang. Pandangan Alfian tunak ke wajahnya, dia tak suka!
“Ada ya orang macam awak. Bangun tidur pagi buta macam ni tak mamai, terus marah-marah. Saya tengok muka awak tu, banyak air liur basi bertempek.” Alfian menyentuh bibir sendiri. Konon nak beritahu di mana letak air liur yang bertempek pada wajah Mawar.
“Hah?” Bergegas Mawar lap mulutnya. Malu campur segan. Mesti muka dia sememeh gila sekarang. Malu punya pasal sampai dia melupakan penampilan diri.
Alfian melepaskan tawa kecil. Nak gelak kuat-kuat jam dah pukul 2.00 pagi, nanti terjaga pula umi dan adik-adiknya.
“Awak tipu saya, kan?”
“Tak tipu. Acah je.”
“Hesy, awak ni…”
Alfian sembunyi senyum.
“Pakai tudung. Lepas tu kita pergi dapur.”
“Buat apa pergi dapur?”
“Saya nak ajak awak cuci dapur. Dua tiga hari ni banyak orang singgah ke rumah sebab kenduri kita, dengan saudara-mara lagi… mesti dapur kotor gila.”
Cuci dapur pukul 2.00 pagi? Alfian gila ke? Kenapa tak suruh dia buat semua tu awal-awal tadi?
“Cepatlah. Arahan umi ni. Awak nak ingkar ke?”
Alfian sandarkan tubuhnya pada dinding sembari memeluk tubuh. Mawar terus tak jadi protes bila nama umi dijadikan taming supaya Mawar mengikut arahannya.
Seksaan dia dah nak bermula ke? Tak boleh ke tunggu betul-betul pagi? Orang gila mana yang buat aktiviti bersih membersih pada waktu sepagi ini? Huwa, kejamnya keluarga mentua dia. Lepas ini dia kena buat apa pula? Jadi hamba abdi di rumah ini? Belajar tinggi-tinggi tapi jadi hamba…
Mawar pejam matanya seketika. Dia tak dibenarkan melawan. Umi dan abi pasrah mereka melakukan apa saja terhadapnya. Hatta dijadikan punching bag pun agaknya umi dan abi tak kisah. Dia diminta patuh.
“Mawar…”
Matanya terbuka.
“Cepatlah. Saya mengantuk ni,” gesa Alfian.
Lesu tubuh Mawar bergerak turun dari katil. Malam tadi dia selamat. Alfian tak melakukan apa-apa terhadapnya. Dia tak jamin hari ini, bahkan saat ini dia bakal terselamat lagi daripada menjadi mangsa kerakusan nafsu seorang lelaki seperti Alfian.
Selepas mengenakan kardigan dan menyauk tudung, dia mengekori Alfian keluar dari bilik. Mereka turun ke dapur.
Bilik Alfian terletak di tingkat atas. Sebelum dia dibawa ke sini dia fikir rumah Alfian hanya sebuah rumah kampung seperti rumah mak tok. Tak sangka pula rumah ini sebuah rumah batu dua tingkat yang boleh tahan besar.
Sebelum dia, penghuni di rumah ini hanya ada umi Alfian, Alfian dan adik lelaki Alfian yang saat ini bersekolah di tingkatan lima. Kedudukan rumah Alfian agak jauh dari rumah lain. Jangan mimpi nak keluar dari rumah ini jika tiada kenderaan.
Dia teringatkan keretanya yang ditinggalkan di rumah umi. Agaknya boleh ke dia ambil kereta itu nanti? Mati kutu dia jika terus mendekam di rumah ini. Tapi apakah Alfian akan mengizinkan dia berbuat begitu? Jangan-jangan kaki dan tangannya akan diikat supaya dia tak boleh ke mana-mana. Silap-silap dia kena kurung buat seumur hidup.
“Aduh!” Dia terjerit kecil tatkala badannya merempuh sesuatu. Dahinya yang berlanggar dengan dagu Alfian digosok-gosok. Sakit!
“Awak fikir apa? Jalan tu tengok depan, jangan duk melamun. Nasib baik langgar saya, kalau langgar tiang? Jatuh tangga, macam mana? Tak pasal orang tuduh saya tak pandai jaga isteri pula.”
Mawar mendelik kesal pada Alfian. Lelaki berkulit sawo matang itu menatapnya dengan riak datar.
Mereka masuk ke dapur. Wah, besar betul dapur di rumah ini. Dia memandang setiap ceruk dapur. Dahinya berkerut. Apa yang nak dikemas? Serba-serbi berkilat barang-barang di dapur. Lantai dapur pun sama, siap boleh buat bercermin.
“Awak nak suruh saya cuci apa?”
Alfian tidak menjawab. Dia membuka pintu peti ais lalu beberapa biji mangkuk dikeluarkan. Dibawa ke sebuah microwave yang terletak di atas kabinet dapur. Tepat di sebelah Thermomix yang umi baru beli beberapa bulan yang lepas. Kata umi gadget terbaru yang umi miliki ini sangat berguna buat umi. Memudahkan umi memasak masakan kegemaran mereka sekeluarga. Dia diam dan turutkan saja walaupun 100 peratus duit dia yang keluar untuk membeli barang elektrik itu.
Mangkuk berisi lauk dimasukkan ke dalam microwave. Sambil menunggu dia bersandar santai pada kabinet. Mawar masih terpacak di tepi meja makan.
Mawar serius ke ingat dia kejutkan Mawar untuk membersihkan dapur? Dapur di rumah ini tak pernah kotor. Setiap kali digunakan pasti akan dibersihkan terus. Tak perlu tunggu masa lain untuk melakukannya. Mereka semua tahu menjaga kebersihan. Tak tahulah pula jika keluarga Mawar sejenis manusia yang suka buat kerja bertangguh.
Dia memasukkan lauk kedua apabila lauk pertama siap dipanaskan. Begitulah seterusnya sebelum dia membawa lauk-pauk itu ke meja makan. Setelah itu dia mengambil sebiji pinggan lalu menyenduk nasi daripada periuk elektrik. Usai dia mengatur pinggan nasi dan lauk, dia memandang Mawar.
“Awak nak makan sambil berdiri ke?”
“Hah?” Sebenarnya apa tujuan Alfian bawa dia ke dapur?
“Ke awak nak saya suapkan? Boleh juga. Saya dah lama tak suap orang makan. Kalau awak rasa nak bermanja…”
Bergegas Mawar duduk sebelum Alfian usai berbicara. Alfian ambil tempat duduk di hadapannya. Satu-satunya pinggan nasi yang ada di atas meja ditolak ke hadapannya.
“Makan,” arah Alfian sepatah.
“Awak suruh saya makan ke?”
Kening Alfian terjongket mendengar soalan Mawar. Dia cakap bahasa alien ke tadi sampai Mawar nak kena pastikan ayat dia sekali lagi.
“Awak dengar saya cakap apa?”
Mawar mendengus. Tak boleh ke Alfian jawab soalannya tanpa membalas dengan pertanyaan?
“Tapi tadi awak kata…”
“Makan, Mawar. Awak tahu tak sekarang dah pukul berapa? 2.20 pagi. Saya mengantuk.”
Mawar mencebik. Siapa suruh Alfian bangun dan paksa dia ke dapur? Dia tak minta pun. Sekarang dia pula yang dipersalahkan.
“Makan cepat!” Alfian menepuk meja. Tak kuat namun cukup untuk membuat Mawar cepat-cepat menyudu lauk ke dalam pinggan.
“Awak tak makan ke?”
“Awak ada nampak pinggan nasi depan saya?” Nada Alfian kerek.
Mawar menggeleng. Tanya pun tak boleh!
“Lapar, tapi berlagak bila orang ajak makan. Kat rumah ni tak boleh buat perangai berlagak dan bodoh sombong. Bila orang ajak makan, awak kena makan. Jangan nak harap orang layan awak 24 jam. Kat rumah ni tak ada orang gaji. Ada saya, umi dan Aflah. Sekarang tambah awak lagi sorang. Kena pandai-pandai bawa diri.”
Mawar mencerna bicara Alfian. Tak nampak macam dia kena jadi orang gaji di rumah ini. Tapi tadi kalau tak silap Alfian kata kat rumah ni tak ada orang gaji. Mungkin tak itu adalah petunjuk yang Alfian berikan supaya dia bersedia bila diarah melakukan sesuatu.
Alfian memeluk tubuh. Sesekali dia menutup mulut yang menguap. Kuyu saja matanya memandang Mawar yang mengunyah nasi seperti mengunyah pasir. Dapat dia pastikan nasi kenduri yang Mawar makan saat ini sedap dan menyelerakan.
Dia enggan memikirkan kenduri yang berlangsung tanpa kehadiran mereka. Dia sudah tahu cerita melalui Ainun dan Arafah siang tadi. Walaupun ramai yang bertanyakan kehadiran pengantin, namun mereka berjaya mengawal keadaan dengan baik.
Jujur dia tak peduli dengan umpatan atau kejian orang. Bukan mereka yang memberi keluarganya makan. Selain keluarga mereka, tak siapa yang lebih tahu keadaan sebenar. Jadi, daripada dia pedulikan mulut orang yang tak boleh ditutup, lebih baik dia pedulikan kebajikan keluarganya.
Pelipis yang berdenyut kerana tidak cukup tidur dan rehat dipicit perlahan. Matanya terpejam tanpa menyedari Mawar sedang curi menatapnya. Memerhati setiap garis wajah yang terlukis elok pada seorang lelaki yang boleh tahan segak.
Alfian tidak kelihatan seperti orang kampung kebanyakan. Melalui pengamatan Mawar tentang rumah yang baru sehari dia diami ini, rumah ini lebih banyak ciri moden berbanding ciri kampung. Siapa sangka di ceruk sebuah kampung terdapat rumah seperti ini?
“Dah habis makan?”
Alamak, kantoi! Mawar tak sempat melarikan pandangan ketika mata Alfian kontan terbuka. Wajahnya bersemu merah.
“Su…dah.”
“Angkat pinggan bawa ke singki. Lepas tu basuh,” arah Alfian seperti Mawar masih kecil.
Mawar tarik muka masam. Perasaan malu cepat saja hilang bila mendengar kata-kata Alfian. Huh, setakat basuh pinggan kacang sajalah.
Dia bangun membawa pinggan ke singki. Pinggan itu dicuci bersih. Bila dia berpaling ke meja makan, lauk-pauk di atas meja makan sudah hilang. Alfian berdiri di jenang pintu dapur.
“Jom, sambung tidur.” Ucap Alfian sebelum keluar dari dapur. Membuat Mawar turut bergegas mengekorinya.
Masuk ke dalam bilik Alfian terus merebahkan tubuh, sementara Mawar tercegat di tepi katil. Dia terkulat-kulat memandang Alfian yang sudah pun menutup mata.
“Apa lagi yang awak tunggu, Puan Mawar?”
Entah. Dia pun tak tahu dia tunggu apa. Dia rasa pelik dengan situasi yang dialaminya saat ini. Alfian masih belum mengambil sebarang tindakan yang boleh memicu kebenciannya terhadap lelaki itu. Bahkan dia merasakan layanan Alfian terhadapnya boleh dikatakan baik.
Sumpah dia bingung. Walhal dalam fikirannya sudah tertanam pelbagai perkara buruk, tetapi satu pun belum berlaku. Melainkan hanya gertakan-gertakan kecil yang boleh dikatakan biasa.
Alfian menggeserkan tubuhnya ke kiri, di bahagian tepi katil tempat Mawar tercegat sambil menatapnya. Matanya terpejam tetapi dia tahu setiap gerak-geri isterinya. Tanpa membuka mata tangan Mawar ditarik, membuat gadis itu terjerit kecil.
Kontan nafas Mawar tersekat di bawah taklukan Alfian. Dadanya bergemuruh hebat. Dia ingin meronta, namun tubuhnya kaku dalam dakapan Alfian.
“Tidur… Nanti kena bangun awal.” Jemari Alfian mengusap mata Mawar supaya tertutup. Sebelah kakinya menindih tubuh Mawar. Sementara sebelah tangan masih lagi mendakap tubuh Mawar.
Dia tak main-main bila dia kata dia mengantuk. Lebih kepada letih sebenarnya. Keletihan yang tidak begitu berbaloi kerana pada akhirnya dia tidak dapat menikmati hasil daripada penat lelahnya sepanjang beberapa minggu menyiapkan majlis nikah kahwinnya dengan Mawar. Belum lagi kerja-kerja hakiki yang sangat menuntut perhatiannya.
Duit dihabiskan sekadar untuk menjamu orang makan. Baju persalinan mereka sempena kenduri belum sempat disarung ke tubuh. Mujur dia menolak bila umi memintanya bersanding. Dia langsung tak bertanya pendapat Mawar kerana dia tahu gadis itu tak peduli pada persiapan pernikahan mereka. Kalau boleh dia juga tak ingin peduli. Tapi siapa lagi yang umi boleh harapkan selain dia dan Aflah? Aflah tak mungkin membantu lebih-lebih. Adiknya itu masih budak. Masih banyak hal dewasa yang perlu dipelajari.
Mujurlah dalam bab baju, Ainun dan Arafah sudi membantu, yang mana hal itu menjadi suatu hal yang amat dikesali. Sampai sekarang dia tak puas hati dengan pilihan baju nikah Mawar. Baju terlebih moden. Huh, ingat cantik sangat ke baju macam tu?
“Awak…”
“Hurm.”
“Boleh tak lepaskan saya?”
Alfian tak mengendahkan permintaan Mawar, malahan pelukannya semakin erat. Dia menarik tubuh Mawar sedikit ke atas. Dengan mata yang terpejam bibirnya mencari bibir Mawar.
Cup!
“Hei, awak…”
Rontaan Mawar tak berhasil bila Alfian membungkam bibirnya dengan bibir lelaki itu.
Haih, Alfian. Tadi katanya letih…
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL WARDAH (PENULIS: AK RAFFHAN)