AINUN memerhatikan Alfian yang sedang menarik pelepah kelapa kering untuk dibakar. Mereka sekarang berada di belakang rumah. Seperti biasa abang sulungnya ini bukannya boleh duduk diam. Orang bercuti berehat di rumah, Alfian pula habiskan cuti dengan mencari aktiviti yang boleh dilakukan buat mengisi masa.
Alfian tak teringin ke bawa isteri barunya berbulan madu? Kalau dia jadi Mawar, dia pasti akan meminta Alfian membawanya berbulan madu. Kalau boleh ke negara seberang laut. Naik kapal terbang guna tiket first class. Lepas itu shopping sebanyak yang mungkin, habiskan duit Alfian yang berkepuk dalam bank.
“Ainun, tolong ambilkan abang lighter kejap kat dapur. Kalau tak silap abang kat atas kabinet tepi peti ais,” arah Alfian tanpa memandang Ainun.
Ainun turun dari wakaf yang diduduki. Dia masuk ke dalam rumah kemudian kembali ke belakang. Pemetik api diserahkan kepada Alfian.
“Mawar kat dapur dengan umi,” beritahunya.
Alfian tidak membalas. Dia ralit menghidupkan api untuk membakar sampah.
“Abang dengar tak Ainun cakap ni?”
“Kenapanya kalau Mawar dengan umi kat dapur? Bukan hal penting pun,” balas Alfian acuh tak acuh.
“Isteri muda abang tu pandai ke memasak? Umi ni tak agak-agak betul. Dia terus suruh Mawar buat kuih.”
Kening Alfian terjongket. “Kuih apa?”
“Tepung pelita kut.” Dia nampak Mawar berpeluh-peluh mengacau tepung dalam periuk. Muka comot kena tepung. Nampak sangat Mawar tak biasa buat kerja dapur.
Daripada apa yang dia dengar, di rumah keluarga Mawar ada pembantu rumah. Agaknya pembantu itulah yang membuat kerja masak memasak. Takkan umi Mawar yang berkerusi roda pula yang memasak. Dia boleh nampak Mawar tidak cekap membuat kerja rumah. Sewaktu menyapu ruang tamu tadi pun Mawar terkial-kial. Beberapa kali mengetuk pinggang yang lenguh.
“Bukan susah pun buat kuih tu. Abang pun tahu buat.”
“Hesy, abang ni! Itu sebab abang dah biasa. Umi dah ajar kita buat kerja rumah sejak kecil. Kalau orang tak biasa macam isteri muda abang tu, suruh buat kerja remeh pun boleh jadi susah tahu tak?”
“Kalau dia tak pandai, dia kena belajar. Takkan nak jadi bodoh sampai bila-bila.” Alfian tegakkan badan yang terbongkok. Api sampah semakin marak terbakar. Dia menatap wajah Ainun.
“Boleh tak jangan panggil dia isteri muda abang? Macam abang ni ada isteri dua je,” rungut Alfian.
“Dah betul dia muda, kan?”
Alfian memutar bola mata. Dilabuhkan duduk di sebelah Ainun. “Akhtar mana? Tak balik lagi beli barang?”
Ainun menggeleng. Akhtar suaminya keluar bersama Mirza suami Arafah. Sementara Aflah pula belum pulang dari sekolah. Maklum pernikahan Alfian dibuat pada cuti hujung minggu, bukan dalam musim cuti persekolahan. Hari Isnin Aflah yang bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini ke sekolah seperti biasa. Biasanya pulang lewat kerana ada kelas tambahan.
“Kita jadi ke nak pergi rumah mak tok petang ni?”
“Jadilah tu. Kata tadi umi buat kuih.”
“Bukan umi, tapi isteri abang. Umi tak ada kat dapur tadi. Mana entah pergi.”
“Mawar kat dapur sorang-sorang?”
Ainun mengangguk. Awalnya tadi dia dan Arafah nak bantu Mawar dan umi di dapur, tapi umi melarang. Umi suruh mereka buat kerja lain. Entah kerja apa yang boleh mereka lakukan selain daripada memasak bila pulang ke rumah. Nak berkemas, rumah pusaka ini dah sedia kemas. Bukannya ada budak-budak. Anak dia pun baru seorang. Dah pandai kemas barang-barang sendiri bila buat sepah.
Sementara Arafah yang dah satu setengah tahun menikah sampai sekarang belum ada tanda-tanda nak berbadan dua. Sibuk dengan kerja yang tak habis-habis. Bila dia membebel pada Arafah supaya jangan terlalu merancang keluarga, Arafah buat muka toya. Geram betul dia. Nak saja dia mengadu pada umi, Arafah belum berbadan dua bukan sebab belum sampai rezeki, tapi sebab Arafah dan Mirza belum bersedia nak menimang cahaya mata. Umur masing-masing dah nak masuk 30 tahun tak lama lagi, tapi bagi alasan tak bersedia nak menimang anak. Merepek saja!
“Abang…” Ainun tepuk paha Alfian.
Alfian angkat kening.
“Lama dah Ainun nak tanya abang. Ainun peliklah dengan abang ni. Macam mana abang boleh setuju nak kahwin dengan Mawar?”
“Kenapa abang tak boleh kahwin dengan Mawar? Hari tu abang tak kahwin bising kata abang tak nak kahwin. Cakap abang seriklah, itulah… inilah. Ni abang dah kahwin, Ainun bising juga. Ainun nak apa sebenarnya?”
“Mana Ainun tak bising. Masa Ainun nak kenalkan adik kawan Ainun dekat abang, abang kata budak tu muda lagi. Tak padan dengan abang yang dah umur 35 tahun. Padahal budak tu beza 10 tahun dengan abang. Yang si Mawar ni beza 12 tahun abang tak kisah pula.”
Alfian baring separuh tubuh di atas lantai wakaf. Teringat wajah umi yang terlanjur memprovokasi keluarga Mawar. Dia dapat rasakan umi tidak betul-betul mahu bermenantukan Mawar, tetapi umi dah terlanjur bicara. Nak mengubah keputusan yang telah diambil kedua-dua belah keluarga, ego memakan diri umi. Sudahnya dia dan Mawar terpaksa dijadikan korban.
23 tahun. Muda usia isteri dia. Anak sulung tetapi ciri-ciri anak manja terlihat jelas pada perwatakan Mawar. Sekali lihat nampak macam takut-takut nak melawan. Setakat ini Mawar berani juga melawan bila berdua dengan dia. Cuma bila dia menggunakan nama umi dalam setiap arahannya, Mawar pasti akan lebih cepat patuh. Nampak gayanya kuasa seorang ibu mentua melebihi kuasa seorang suami.
“Umi yang nak…”
“Tapi abang kan boleh tolak. Abang bukan tak biasa. Jangan-jangan abang pun nak balas dendam pada keluarga budak tu.”
Alfian mengerling Ainun. Bercakap soal dendam tidak akan habis. Dendam orang tua, apa kena mengena dengan dia? Lagi pula dia sendiri tidak tahu sejauh mana dendam umi terhadap keluarga Mawar. Setakat ini dia belum nampak tanda-tanda umi mempunyai niat buruk terhadap Mawar. Tak tahulah jika diam-diam umi sudah menyusun rancangan.
“Budak tu orang bandar. Abang rasa dia boleh serasi ke tinggal kat kampung ni? Nak pergi kedai jauh. Jauh dari rumah jiran-jiran. Kalau dia bagitau abang dia tak nak tinggal kat sini, macam mana? Apa abang nak buat dengan dia?”
Alfian jongket bahu. “Tunggulah dia cakap dulu, baru abang fikir apa abang nak buat.”
“Hesy, abang ni! Senang betul cakap. Serius sikit boleh tak?”
Alfian bangun dari pembaringan. “Ainun nak abang cakap apa? Abang belum nampak masa depan kami macam mana. Tengoklah nanti apa yang akan jadi. Abang malas nak semakkan fikiran abang dengan benda yang belum jadi. Ainun tak payah sibuk fikirkan pasal rumah tangga abang. Jaga aje anak dan suami Ainun baik-baik. Rumah tangga abang biar abang fikir sendiri.”
Ainun cemberut. Mudah betul cara Alfian. Nak tunggu benda dah jadi baru nak fikir ke? Macam mana kalau masa tu nasi dah jadi bubur? Sudah pasti dah terlambat untuk Alfian betulkan keadaan.
“Abang! Kak Ainun, umi panggil!” Arafah melaung dari beranda depan. Bukan main kuat suara dia. Malas nak ke belakang. Tadi umi dah minta Mawar panggilkan Alfian dan Ainun, 10 minit selepas itu pun ketiga-tiga mereka tak muncul lagi.
“Isteri abang mana?” Soal Arafah pada Alfian yang memilih masuk ke rumah melalui pintu depan.
“Kat dapur, kan?”
“Tak ada pun. Dia tak panggil abang ke?”
Alfian menggeleng. Bayang Mawar pun dia tak nampak.
“Umi cakap sekejap lagi nak pergi rumah mak tok. Aflah terus tunggu kat sana. Abang Mirza dengan Abang Akhtar pun dah on the way balik. Sekejap lagi sampailah tu.”
Alfian mengangguk.
“Lagi satu…” Lengan Alfian dilelar Arafah. “Tangan Mawar terluka tadi. Ara rasa dia gemuruh sangat sedapur dengan umi. Buat kerja pun tangan terketar-ketar.”
“Teruk ke?”
Arafah jongket bahu. “Tak perasan. Dia terus keluar dapur lepas tu.”
“Umi ada marah dia ke?”
“Tak ada pula Ara dengar suara umi. Abang rasa umi ada marah dia ke? Manalah tahu kan umi marah bisik-bisik.”
“Memandai aje buruk sangka pada umi. Kalau umi tak buat macam tu macam mana? Sanggup tanggung dosa?”
Arafah tersengih. “Ara cakap je. Belum tentu betul, kan?”
“Cakap jangan sebarang cakap, nanti jadi fitnah. Kecil hati umi kalau dengar,” nasihat Alfian.
Arafah suka buat andaian sendiri. Andaian itu jika disimpan dalam fikiran sendiri tak mengapa juga. Ini tidak, siap ajak orang lain bersetuju lagi dengan andaian dia yang belum tentu betul.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL WARDAH (PENULIS: AK RAFFHAN)