Wardah – Bab 5

USAI membersihkan diri dan berpakaian lengkap, Alfian merenung Mawar yang terlena di atas katil. Dahinya berkerut melihat pipi Mawar yang sedikit basah. Ibu jarinya pantas menyeka sisa air mata pada pipi gebu milik Mawar.

Kenapa Mawar menangis? Betul ke umi memarahi Mawar seperti yang disangkakan Arafah? Dia menatap gusar apabila perasankan tangan Mawar yang berbalut dengan tisu berdarah. Pada baju Mawar pun terdapat percikan darah.

Bekas tisu yang penuh dengan darah kering ditarik perlahan. Mawar sedikit meringis, namun tidak terjaga. Terlihat jelas luka yang tidak dibersihkan.

“Mawar…” Jarinya mengusap lembut pipi Mawar. Mawar tak bergeming. Siapa yang akan terjaga dek usapan yang begitu lembut seperti itu?

“Mawar…” Dia tunduk mengecup pipi Mawar. Lantaran Mawar tetap tidak terjaga, bibirnya menggigit perlahan tengkuk Mawar. Tak semena-mena Mawar terduduk dengan mata yang terjegil.

“Awak buat apa?” tanya Mawar dengan suara serak. Rasanya baru sangat dia masuk ke bilik selepas terdengar perbualan Alfian dan Ainun di belakang rumah. Tak jadi terus dia panggil mereka ke dapur seperti yang diarahkan umi.

Tangannya yang berdenyut nyeri membuat dia masuk ke bilik. Tidak peduli jika umi marah sekalipun. Sepatutnya dia kembali ke dapur untuk mengemas barang-barang yang digunakan untuk memasak kuih sebentar tadi. Dia yang tak pernah diajar umi memasak kuih dari kecil sampai dah besar panjang macam ni punya terkial-kial nak buat kerja. Cuak diperhatikan umi satu hal, kekok buat kerja satu hal lain. Lantaran terlalu kekok berbaur cemas, dia tersayat jari pada tin jagung yang dibuka untuk membuat puding jagung.

Dia tak mengaduh sewaktu tangannya terluka. Dia cepat-cepat tarik tisu di atas kabinet dapur, kemudian bergegas keluar mencari Alfian dan Ainun di belakang rumah. Air mata yang tidak mahu menitis mendadak menitis bila mendengar perbualan dua beradik itu.

Betul kan apa yang dia fikirkan? Keluarga Alfian hanya berniat mahu membalas dendam. Dia hanya dijadikan alat untuk melampiaskan nafsu Alfian. Kalau dia tahu, dia akan memberontak bersungguh-sungguh sewaktu Alfian menyentuhnya malam tadi.

“Mawar…”

Tangan Alfian yang menyentuh lengannya ditarik perlahan. Begitupun jari yang sedang dipegang Alfian direntap agak kuat. Seketika dia terjerit. Darah yang telah kering kini mengalir semula. Berceceran di atas cadar dan lantai.

Alfian tak berkata walau sepatah pun. Nak marah, tetapi melihat wajah merah Mawar dia jatuh kesian. Inilah sebabnya dia menolak sewaktu Ainun mahu memperkenalkan gadis muda padanya. Umur Mawar yang seharusnya sudah dalam batasan umur matang masih berperangai seperti anak kecil. Tunjuk protes dan kemarahan tanpa sebab yang begitu jelas.

Dia membawa Mawar masuk ke dalam bilik air. Tangan yang berdarah dilalukan di bawah air paip. Mawar di sebelahnya diam-diam menumpahkan tangis.

“Yang awak menangis kenapa? Tadi nampak kuat sangat. Sakit, kan?” Bebelnya.

Mawar mengetap bibir. Berusaha menahan tangis yang sudah bertukar menjadi esakan. Bibirnya digigit.

“Hei…” Alfian mengeluh perlahan. Tubuh Mawar dibawa berpusing menghadapnya. Lantas tanpa sebarang kata dia mendakap erat Mawar yang teresak-esak di dadanya. Tidak tahu apa sebenarnya punca yang membuat Mawar menangis. Disebabkan tangan yang sakit atau takut dimarahi.

“Saya tak boleh layan awak menangis lama-lama. Umi dengan adik-adik saya semua dah pergi rumah mak tok. Tinggal kita saja yang belum bertolak.”

Pelukan mereka dirungkai. Air mata Mawar yang tak berhenti mengalir diseka perlahan.

“Sekarang saya nak awak berhenti menangis. Mandi, lepas tu solat asar. Lagi lama kita macam ni lagi lama keluarga kita tunggu. Awak tak nak umi tanya macam-macam nanti, kan?”

Mawar menunduk. Malu nak bertatapan dengan Alfian. Sungguhpun begitu Alfian tak membenarkan dia larut dalam kesedihan dengan lebih lama. Dagunya ditarik mendongak, kepalanya dielus Alfian.

“Kalau ada apa-apa kita cakap lepas balik dari rumah mak tok nanti. Boleh?”

Mahu tak mahu dia mengangguk. Tubuhnya dilepaskan Alfian.

“Mandi dulu. Sekejap lagi saya bawakan tuala.” Setelah itu Alfian meninggalkan Mawar di dalam bilik air.

Di bawah pancuran air yang mengalir deras sesekali Mawar meringis merasakan nyeri pada tangannya yang luka. Seiring dengan air matanya yang tak berhenti mengalir.

Alfian melayannya dengan baik. Tetapi semua itu hanya lakonan semata. Di mata Alfian dia hanya seorang wanita, anak kepada musuh keluarga lelaki itu. Dia yakin satu hari apabila mereka sekeluarga puas membalas dendam, dia pasti akan dicampakkan seperti anjing kurap.

“Mawar…” Suara Alfian serentak dengan ketukan di pintu. Dia menutup pili pancuran air mandi. Pintu bilik air dibuka sedikit. Tangan yang memegang tuala terhulur masuk ke dalam bilik air.

“Baju saya?”

“Saya tak tahu awak nak pakai baju mana. Keluar pilih sendiri.”

Cis, kurang asam! Alfian saja nak kenakan dia. Dia tiada pilihan. Terpaksa keluar dari bilik air dengan berkemban.

Alfian duduk di birai katil. Cadar yang terkena darah sudah dibuka. Ceceran darah di atas lantai juga sudah dibersihkan.

Pipinya semerah tomato lantaran diperhatikan Alfian. Dia berusaha untuk tidak menunjukkan kelemahannya. Selamba membuka pintu almari untuk mencari pakaian dalam dan pakaian yang akan dikenakan ke rumah mak tok.

“Pakai kat sini je, Mawar. Awak nak malu apa? Saya dah tengok semua malam tadi.”

Langkah Mawar yang sedikit lagi mahu sampai ke bilik air terhenti. Baju di tangan dibawa ke dada. Dia berundur beberapa langkah apabila Alfian berjalan menghampirinya.

“Dah ambil wuduk?”

Dia angguk.

“Okey. Solat cepat.” Alfian keluar dari bilik.

Nafasnya terhela lega. Dia ingatkan apalah Alfian nak buat tadi. Bergegas mengenakan pakaian meskipun dia meringis menahan sakit. Haih, manja benar dia hari ini. Macam tak pernah terluka saja. Usai berpakaian dia menunaikan solat asar pula. Mujur darah di tangan sudah berhenti mengalir, tidaklah telekungnya terkena darah.

Tepat selepas dia mengaminkan doa, kelibat Alfian terlihat di belakangnya. Dia bangun dari sejadah. Lelaki itu sepertinya sudah bersiap sedia meninggalkan rumah.

Dia betul-betul tak selesa menjadi pusat perhatian lelaki itu. Nak marah, tak boleh. Nak diamkan, dia yang sesak nafas. Sehingga dia memakai tudung, pandangan Alfian tak lepas daripada memandangnya.

“Dah siap?”

Lagi mahu tanya, walhal Alfian nampak perbuatannya. Alfian menghampirinya. Tangannya ditarik perlahan. Bahagian yang terluka dibelek-belek.

“Nasib baik tak dalam sangat. Lain kali buat kerja tu jangan berangan. Bahaya, awak tahu ke tidak?” Alfian menyapu minyak gamat pada lukanya. Sesekali tempat dia terluka ditiup Alfian.

“Umi ada marah awak ke tadi?”

Dia terkedip-kedip. Menahan debar sewaktu jemari Alfian membetulkan letak tudungnya.

“Mawar, dengar tak saya tanya?”

“Hah?”

“Umi ada marah awak masa kat dapur tadi?”

Dia menggeleng. Umi tak marah pun. Umi lebih banyak memerhatikan. Bersuara memberitahu cara-cara memasak kuih tepung pelita. Umi siap berikan dia sukatan untuk setiap bahan. Bila dia membuat kesalahan kerana perangainya yang cemerkap umi hanya memandang dengan wajah tak beriak. Selesai dengan kuih tepung pelita, umi minta dia buka tin jagung. Entah bila masa umi buat puding jagung, dia tak perasan langsung. Nampak sangat dia yang terlalu terhegeh-hegeh buat kerja.

Dia tak tahu nak mengagak perangai keluarga mentuanya ini. Mereka seperti orang baik-baik yang tidak suka menyimpan dendam. Tetapi mengetahui punca dia masuk ke dalam keluarga ini dia tahu dia tidak boleh berbaik sangka. Mereka mempunyai agenda untuk melunaskan dendam yang tersimpan sejak sekian lama.

Setiap saat berada di rumah ini dia sentiasa berdebar-debar. Tertunggu-tunggu cara pembalasan dendam yang akan digunakan mereka untuk menyeksanya.

“Kalau umi tak marah, kenapa awak menangis? Sebab tangan awak sakit ke?”

Dia angguk. Tipu sunat supaya Alfian tak bertanya lagi.

Alfian menarik tangan Mawar keluar dari bilik. Tingkap dan pintu dapur sudah dikunci sementara menunggu Mawar berpakaian dan solat tadi.

“Nanti dekat rumah mak tok panggil saya abang.” Ucap Alfian setelah mereka masuk ke dalam kereta.

“Abang?” Geli tekak dia nak sebut abang. Dia dan Alfian tengah bermusuh. Walaupun Alfian tak jadi suaminya, seharusnya memang panggilan itu yang dia ucapkan sebagai tanda menghormati Alfian yang lebih tua.

“Ainun dan Arafah dah tegur sebab mereka geli dengar kita berawak-awak. Saya tak nak nanti umi dan mak tok pula yang bersuara.”

Hilux Alfian keluar dari kawasan rumah. Sepanjang perjalanan menuju ke rumah mak tok, suasana terlihat redup. Hidup di kawasan kampung seperti ini tidak dinafikan memberikan ketenangan pada jiwa-jiwa yang setiap hari dihadapkan dengan hiruk-pikuk kehidupan di bandar.

Dia tak pernah merasa hidup di kampung kerana umi dan abi sama-sama berasal dari bandar. Dahulu dia selalu cemburu pada rakan-rakannya setiap kali mereka bercerita tentang kampung halaman mereka.

Dia teringin nak merasa mandi di sungai. Melihat sawah bendang yang menghijau. Masuk ke kebun mengutip buah-buahan setiap kali tiba musim. Berbeza rasanya bila mengalami semua itu dengan cara bercuti bukannya benar-benar pulang ke kampung sendiri.

Keinginannya terwujud bila Alfian menikahinya. Namun, bolehkah dia menganggap kampung ini sebagai kampungnya? Sampai bila kampung ini bertahan menjadi kampungnya sebelum Alfian melepaskan dirinya setelah lelaki itu bosan?

Dia benci hidup tanpa arah tuju seperti ini. Beberapa bulan lalu selepas dia menamatkan pengajiannya di sebuah universiti tempatan, dia menahan diri untuk segera bekerja kerana umi sakit. Dia fikir setelah kesihatan umi semakin membaik dia akan bekerja dan menjadi wanita berkerjaya. Siapa sangka dia terperangkap di sebuah kampung yang tak pernah dia jejaki sebelumnya.

Semua salah umi. Kalau umi tak sibuk nak mencari Ana pasti saat ini dia tidak berada dalam satu kereta dengan Alfian. Sekelip mata dia merasakan masa depannya yang cerah menjadi gelita.

“Mawar…”

Dia menoleh kepada Alfian.

“Kita dah sampai kat rumah mak tok. Awak fikir apa?” Ibu jari Alfian mengusap dahi Mawar yang berkerut.

Mawar menggeleng perlahan. Baru dua hari hidup bersama Alfian, dia sudah dibuat terharu dengan sikap lelaki itu. Mulut Alfian memang banyak bicara, namun Alfian tak segan melayannya dengan penuh kelembutan. Tak mustahil jika Alfian berterusan bersikap begini, dia boleh jatuh cinta pada lelaki berusia 35 tahun ini.

“Jom, turun. Ingat, panggil saya abang,” pesan Alfian sebelum mereka keluar dari kereta.

Dia tak mengangguk mahupun menggeleng. Tiada pilihan. Suka atau tidak, dia perlu melakukannya.


PROLOG  BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4   BAB 5


BELI NOVEL WARDAH (PENULIS: AK RAFFHAN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *