“AKU terima nikah Mawardah binti Mustaza dengan mas kahwin yang dibayar tunai.” Lancar. Dengan sekali nafas dan lafaz saja.
Dunia Mawar seakan berhenti berputar. Berharap yang terjadi hanya sebuah mimpi ngeri. Bila pandangan berbalamnya menyapu seluruh wajah hadirin yang hadir, dia tahu dia tak bermimpi. Pernikahan ini nyata.
Sesaat tadi dia telah sah bergelar isteri kepada seorang lelaki asing. Perkahwinan yang tak diinginkan ini akhirnya terjadi jua. Perkahwinan yang telah meragut segala impiannya sebagai seorang gadis.
Nafasnya terasa sesak ketika pandangannya menangkap figura lelaki berbaju Melayu sedang melangkah gagah ke arahnya.
Umi, tolong Mawar… Suaranya tersangkut di rengkung, tak sampai di hujung lidah.
Sedetik kemudian dia terjelepok di lantai masjid yang berkarpet. Suara gegar hadirin yang hadir bingit memenuhi ruang masjid. Mereka berpusu-pusu berkerumun di tempat kejadian. Terkejut bukan main. Masakan tidak! Pengantin perempuan tidak sedarkan diri selepas ijab dan kabul terlaksana. Macam drama…
Banyak persoalan bermain di fikiran tetamu yang hadir. Bunyi suara-suara sumbang mula kedengaran.
Alfian tak peduli. Dipekakkan telinga. Fokusnya hanya pada Mawar, gadis yang sebentar tadi telah sah jadi miliknya.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL WARDAH (PENULIS: AK RAFFHAN)