Yang Kulupa – Bab 1

SEWAKTU kali pertama melihat Dian bagai ada satu perasaan yang memanjat daerah dada, menerbitkan kilasan-kilasan memori yang telah terpecah. Gagal dicantum oleh ingatan Redza. Dia berjumpa dengan Dian di sebuah taman yang selalu menjadi tempat untuk dia berlari kala kusut fikirannya semakin menyesak. Petang semalam dia berselisih faham dengan mama. Dimulai dengan perbualan biasa sehingga tiba-tiba mama menyebut tentang isteri.

Dia tidak tahu mengapa setiap kali isu tentang ‘isteri’ dibangkitkan dia akan jadi berang. Rasa nak meletup kepalanya. Kebiasaannya mama akan mengalah jika dia meminta mama berhenti. Semalam mama begitu degil. Cuba mencari sebab kenapa dia tak mahu menikah. Dia semakin berang apabila mama menuduh dia suka kaum sejenis.

Hai, muka dia yang kacak ni ada nampak macam ahli persatuan semburit ke? Cuba letak seribu gay di hadapannya, nescaya gay-gay terkutuk itu akan dibunuh satu persatu. Tidak menikah tidak bermakna dia tidak bernafsu terhadap perempuan. Ada. Cuma dia yang tidak mahu.

Salah. Seperti itu hatinya merasakan.

Menikah adalah sesuatu yang terlarang buat Redza. Dia tahu tidak berdosa, malah berlipat kali ganda pahala yang ALLAH janjikan buat lelaki mahupun wanita yang mendirikan masjid. Tetap saja dia tidak mahu. Dia boleh mengejar pahala lain. Tapi bukan dengan menikah. Bila mama bertanya, “kenapa Redza tak nak kahwin?” Jawapan Redza begitu mudah. Buat mama sakit hati mendengarnya.

“Redza tak tahu mama. Redza tak boleh jawab soalan mama.”

“Redza nak mama carikan isteri untuk Redza? Mama akan cuba cari yang terbaik. Redza bagitau aje Redza nak isteri yang macam mana. Mama usahakan.”

“Sudahlah, mama. Tolong berhenti. Redza tak nak sakitkan hati sesiapa. Redza bahagia hidup macam ni. Redza ada mama. Ada Kak El dan Erina. Ada papa. Redza tak perlukan orang lain dalam hidup Redza lagi. Keluarga kita dah cukup.”

Mama menatapnya cukup lama. Seakan mencari sebuah jawapan pada wajahnya. Dahi mama berkerut-kerut. Dia pula yang rasa malu direnung mama setajam itu.

“Kenapa mama pandang Redza macam tu?”

“Redza gay ke?”

Gamam sebentar Redza. Tak berkerdip pandangannya. Setelah tercerna perkataan gay yang meletus keluar dari bibir mama tawa Redza mula meledak.

“For sure Redza bukan gay, mama.”

“Kalau macam tu buktikan pada mama.”

“How?”

“Kahwin!”

Sekali lagi tawa Redza meledak. Kepalanya tergeleng-geleng. Dia tak mahu. Diskusi tamat.

“Maaf, mama. Tolong minta yang lain.”

“Redza…”

“Tolonglah mama. Redza sayangkan mama. Redza sanggup lakukan apa saja untuk mama tapi bukan untuk ini. Redza minta maaf.”

Sampai mati pun dia tidak ada jawapan mengapa hatinya sebeku ini. Hanya ALLAH saja yang tahu mengapa. Mungkin ada rahsia tersembunyi di masa lalunya. Masa lalu yang sehingga saat ini gagal diingat. Membuat perasaan cintanya pada makhluk bernama perempuan menghilang. Tidak ada seorang pun yang mampu menyentuh hati seorang Redza. Sehinggalah dia bertemu dengan gadis bertubuh kecil di hadapannya. Yang memperkenalkan dirinya sebagai

Dian.

“Awak siapa, Dian?”

“Saya, Dian. Awak baru je lepas sebut nama saya.”

“Tapi kenapa saya rasa awak macam Dian yang lain?”

Dian memandangnya aneh. Bukan hanya Dian, dia sendiri merasakan keanehan itu. Mana tidaknya, berdiri di sebelah Dian yang masih asing, namun hatinya bagaikan sangat mengenali Dian. Ada apa dengan Dian? Siapa sebenarnya gadis muda yang sedang berada di hadapannya? Perasaan ingin tahunya digeletek dengan begitu dahsyat. Meronta-ronta untuk diberikan jawapan. Ada rasa tenang, sedikit dijamah sendu. Ada rasa suka, sedikit disentuh rasa sedih. Begitu perasaannya saat ini.

“Awak siapa, Dian?”

Dian tertawa. Mesra di telinganya. Menyambut rasa bahagia yang tiga tahun kebelakangan ini amat sukar dirasakan. Bahagia melihat orang lain selain daripada keluarganya. Istimewanya Dian kerana berjaya membuatkan Redza keluar dari kepompong rasa yang selama ini mengepungnya untuk tetap berada di tempat yang sama.

“Saya Dianlah. Kelakarlah awak ni. Dari tadi awak asyik tanya siapa saya. Awak dah tahu nama saya Dian. Jadi jawapan saya, saya adalah Dian!”

Dian senyum. Manis sekali pada pandangan Redza.

“Berapa umur awak, Dian?”

“21 tahun.”

“Muda sangat,” gumam Redza begitu perlahan, tak dapat didengar Dian.

Redza yakin Dian masih belajar. Mungkin sudah sampai di tahun terakhir universiti. Melihat perwatakan Dian yang ceria dan agak peramah, sepertinya sesiapa pun akan tertarik untuk terus mengenali Dian. Dia yang berbeza jauh umur dengan Dian tak mampu larikan pandangan. Asyik terpasak ke wajah Dian yang entah mengapa terlihat begitu menarik pandangannya supaya terus melekat di situ. Punya banyak perempuan yang dia jumpa. Malahan lebih matang dan cantik daripada Dian, tetapi pada gadis muda ini jugalah jantungnya melagukan irama sumbang, berdegup dengan kelajuan yang luar biasa laju. Berdegup tak tentu arah sehingga Redza menjadi bimbang Dian akan dapat mendengar degupan jantungnya.

“Awak ada boyfriend tak, Dian?”

Dian tampak terkejut dengan pertanyaannya. Sudah pasti Dian terkejut. Dia lebih terkejut lagi. Kenapa dia bertanyakan soalan itu?

“Umur awak berapa, Redza?”

“32 tahun.”

“Awak ada isteri tak, Redza?”

Soalan Dian membuatkan Redza terpaku. Semakin banyak kilasan muncul di kotak memori membuatkan kepala Redza berdenyut-denyut. Dia sedikit limbung.

“Redza, awak kenapa?”

Tangan kecil Dian menangkap lengannya. Tak menyentuh kulitnya, namun sentuhan kecil itu membuatkan Redza sedikit
melonjak kaget, lantas tanpa sengaja lengannya direntap. Dian seperti seorang manusia yang menyimpan tenaga elektrik yang berlebihan dalam badan. Sesiapa saja boleh terkena renjatan elektrik jika menyentuh Dian. Tinggi sungguh imaginasi Redza. Mereka bukan sedang berlakon dalam drama sains fiksyen.

“Saya minta maaf. Saya tak sengaja. Saya ingat awak nak jatuh,” terang Dian rasa bersalah.

Dia bukan saja-saja nak pegang lengan Redza. Dia nampak tubuh Redza tak seimbang seperti nak jatuh, spontan tangannya terus menangkap lengan Redza. Niat baiknya yang disalahertikan membuat hatinya sedikit terasa. Tak perlu merentap sekasar itu. Kalau tarik baik-baik pun sudah pasti dia akan tetap melepaskan.

“Maaf, Dian. Saya tak sengaja.” Redza tersenyum canggung. Pasti Dian kecil hati dengan perbuatannya. Tengkuknya diusap
perlahan. Dian melarikan muka ke tempat lain.

“Boleh Dian ulang semula soalan Dian tadi?”

Dian kembali memandang Redza. Hatinya sudah tidak ada di situ. Berdepan dengan Redza saat ini menimbulkan satu perasaan yang kalau boleh tidak mahu langsung muncul. Dia ingin berlari pulang kepada kak long. Namun semakin dipandang muka Redza semakin dia kasihan.

Sebuah keluhan dilepaskan.

“Awak dah kahwin?”

Dahi Redza berkerut.

“Tak. Saya belum kahwin.” Bagaikan ada yang salah dengan jawapannya. Kerutan di dahi bertambah banyak. Mata Dian mengecil.

“Awak macam tak yakin dengan jawapan awak. Awak tipu saya ya? Masa awak di sini sedang berbual dengan perempuan lain, isteri awak di rumah tertanya-tanya di mana suaminya berada sekarang? Betul ke keluar berjoging atau tengah sibuk mengurat perempuan lain.” Dian bercekak pinggang.

“Dian rasa saya tengah mengurat Dian ke?” Redza senyum usil. Pandangannya nampak nakal. Tak semena-mena pipi Dian merona.

“Ma…mana ada saya fikir macam tu. Sa…saya sebut contoh je.”

Tergagap-gagap Dian nak jawab. Itulah kau, Dian. Main cakap aje. Dia kan tengah cakap dengan kau sorang. Lainlah kalau dia tengah cakap dengan perempuan lain baru boleh kau cakap macam tu. Redza tertawa lepas. Terkedip-kedip Dian memandang. Bunyi tawa Redza kedengaran berbeza. Tulikah Dian? Atau dia yang merindukan bunyi tawa lepas yang tidak berbeban itu? Redza berdeham. Tawanya masih berbisa.

“Demi ALLAH saya tak ada isteri. Tak pernah berniat nak ada isteri. Tapi bila saya jumpa Dian, tiba-tiba saya rasa saya nak sangat ada isteri. Pelik ke saya Dian?”

Redza tunduk. Senyum melihat mata Dian yang terbuntang. Comel. Kalaulah boleh disentuh pipi Dian yang mulus. Meskipun tahu salah, namun tangannya terangkat. Menyentuh lembut kepala Dian yang bertudung.

Dian… Menyeru nama Dian dalam hatinya. Mata Redza terpejam.


INTRO • BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4


BELI NOVEL YANG KULUPA (PENULIS: AK RAFFHAN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *