GILA! Apa lagi yang lebih tepat untuk menggambarkan dirinya saat ini? Hanya perkataan itu yang terlintas di fikiran. Bagaimana mungkin gadis yang baru dua kali ditemui itu mampu membuatkan perasaannya menjadi kucar kacir seperti ini? Taman ini tidak pernah dikunjungi sekerap ini. Tabiat berlari pada waktu pagi digantikan dengan berlari pada waktu petang. Redza tidak tahu mengapa perasaannya begitu tidak selesa setiap kali kakinya cuba berlari di lapangan bebas pada waktu pagi. Jantungnya tiba-tiba berdegup tak tentu hala, dan dia akan kehilangan nafas. Dadanya sakit walau hakikatnya dia sihat. Semenjak badannya merasakan keanehan itu dia menukar banyak rutin. Dan hari ini dia melakukan kegilaan yang tak pernah difikirkan sanggup dilakukan. Dia berlari pada pagi hari! Semata-mata untuk melihat Dian lagi. Padahal dia tidak pernah tahu apakah Dian akan ke sini? Mengingat semalam Dian tidak ke sini dengan berpakaian sesuai untuk orang yang mahu melakukan riadah.
Dan ternyata benar, perbuatannya sia-sia semata. Kelibat Dian tak terlihat. Lebih malang lagi dia hampir pitam kerana rasa yang sudah lama tidak mencengkam dada. Petangnya dia kembali lagi. Dengan niat yang sama! Sungguh lelaki yang bernama Redza ini tak serik-serik. Kenapa Dian begitu menghantui fikirannya? Kenapa dia melakukan perbuatan bodoh ini? Tertinjau-tinjau mencari figura seorang gadis.
‘Awak kat mana, Dian?’
Hatinya tertanya-tanya?
Mengapa rindunya jadi segering ini? Pada Dian?
Menengadah ke langit, dia melihat awan putih, langit berwarna biru. Cuaca begitu baik. Angin bertiup dengan begitu lembut.
Menghadirkan rasa rindu yang semakin membara. Apakah perasaan yang dirasakan ini adalah sesuatu yang tidak mustahil? Jatuh cinta pada pandangan pertama? Pada Dian? Redza tergeleng-geleng. Mana mungkin dia jatuh cinta pada seorang gadis
kecil seperti Dian. Pasangan Redza seharusnya seorang wanita yang lebih matang. Bukannya gadis seperti Dian yang masih tercari-cari arah tujuan hidupnya.
“Dian?”
“Huargh!”
Redza pantas menyambar pinggang Dian yang hampir terlentang ke belakang. Dia tak berniat mengejutkan Dian. Dia sendiri tak menyangka yang menyorok di belakang pokok bunga yang sudah dipangkas itu adalah Dian. Dian menarik dirinya daripada terus dipegang Redza.
“Buat apa Dian menyorok di sini? Tak kena gigit nyamuk ke?”
Dian sengih. Malu sebenarnya. Tunjuk perangai budak-budak depan Redza. Ada ke orang dewasa menyorok celah pokok bunga macam dia?
“Tak sangka dapat jumpa Dian lagi.”
Redza tak dapat sembunyikan rasa bahagia yang sedang melantun-lantun memintanya menterjemahkan dengan senyuman yang paling maco. Maco ke dia sekarang? Atau lebih kelihatan seperti lelaki yang pertama kali dapat berbicara dengan wanita yang sangat dikagumi dalam diam?
Mata Dian melilau seperti mencari sesuatu. Mungkin juga seseorang. Siapa yang dicari Dian? Adakah kedatangan Dian hari ini
tidak sendirian? Siapakah gerangan yang menemani Dian? Tiba-tiba saja perasaan cemburu itu muncul. Dian tak menjawab soalannya semalam. Dia tak tahu tempat di hati Dian sudah terisi atau tidak. Anak mata Dian yang masih meliar menarik perhatian Redza. Baru dia menyedari mata coklat itu berkaca-kaca. Kelihatan suram dan sedih, langsung tak sama seperti semalam.
“Dian ada masalah ke?”
“Hah? Mana ada!”
“Mata Dian tak bercahaya hari ni. Nampak suram, kelam… Macam langit yang tengah mendung.”
“Saya okey. Tak ada masalah pun.”
Redza tak percaya. Tetapi siapa dia nak memaksa Dian bercerita. Dia tiada hak.
“Dian.”
Redza mencuit bahu Dian yang asyik melihat sekeliling setelah mendongak melihat langit. Mungkin Dian juga perasan langit yang tadinya cerah berubah menjadi mendung. Sedikit demi sedikit awan putih bertukar kelabu, kemudian hitam. Hujan mungkin akan turun sebentar lagi. Angin bertiup agak kencang.
“Dian.”
Suka pula dia menyebut nama Dian. Begitu mesra dan tidak janggal di lidahnya. Dahi Dian berkerut. Agaknya Dian fikir Redza
sudah gila. Panggil namanya tanpa sebab.
“Saya belum dapat jawapan.”
“Jawapan apa.”
“Jawapan kenapa dada saya berdebar-debar setiap kali menyebut nama Dian.”
Redza meletakkan telapak tangan sendiri ke dada. Jantungnya sedang berdegup laju. Gemuruh. Dia ingin Dian turut merasakannya, mana mungkin dia melakukan seperti itu pada Dian. Dian bukan sembarangan gadis yang boleh disentuh. Dian hanya memandangnya dengan riak wajah berbaur, keliru dan curiga. Mungkin Dian fikir dia seorang lelaki gila yang sedang mencari mangsa untuk dimangsakan. Dia sendiri gagal menafikan dia tak ubah seperti lelaki gila bayang. Gila pada bayang-bayang yang seakan wujud di depan mata, namun tak terlihat. Seakan sebuah halusinasi yang tak tersentuh dek tangannya. Seperti itukah perasaannya pada Dian ketika ini? Hanya perasaan semu yang tiba-tiba muncul dan menghilang sesudah Dian turut pergi dari hidupnya. Dian tidak akan terus di sini, bukan?
“Boleh saya tanya sesuatu?”
Kening Dian terangkat. Redza sentiasa banyak soalan. Kebanyakan soalannya mengelirukan jiwa remaja Dian. Sukar untuk
Dian berikan jawapan walaupun jawapan itu mungkin diketahui Dian.
“Betul ke kita tak pernah jumpa sebelum ni?”
“Betul. Kenapa?”
“Saya macam pernah tengok mata Dian.”
Dian dihampiri sehingga jarak mereka menjadi terlalu dekat. Keterlaluankah dia kerana cuba menghapus jarak mereka? Dian
bagaikan magnet yang menarik Redza untuk terus merapat sedangkan mereka tak seharusnya serapat itu. Ada jurang yang tak terlihat dek mata. Redza tak sedar dia sedang campakkan dirinya ke jurang yang paling dalam.
“Dian ni Dian yang mana? Dian di hati saya ke?”
Pernahkah wujud seorang Dian di hati Redza? Redza tidak tahu. Di hatinya ada satu lohong kosong yang pernah tertulis satu nama. Namun tidak diketahui siapakah pemilik nama tersebut. Diankah itu?
Tetapi agak mustahil mengingatkan Dian memberitahu Dian hanya bercuti di sini. Dia lebih tak yakin memikirkan jurang usia
mereka. Tiga tahun yang lalu Dian baru berusia 18 tahun. Tak mungkin dia jatuh cinta pada seorang gadis semuda itu.
“Saya keliru, Dian.”
“Awak tak sihat kut, Redza. Tak perlu keliru. Awak bukannya kenal saya.” Tapi hati Redza berkata lain.
“Saya dah tak keliru dengan nama Dian lagi.”
“Habis tu apa lagi yang buat awak keliru.”
“Saya keliru dengan perasaan saya.”
“Kenapa dengan perasaan awak?” Perlahan saja suara Dian menyambut halwa telinga Redza. Begitu lembut. Wajah Dian yang lembut dan manis dipandang lama. Mencari makna rahsia hati yang sedang bernyanyi. Lagunya lagu cinta Mengasyikkan dan menyesatkan lagi hati Redza yang sejak sekian lama sudah tersesat.
“Saya rasa saya jatuh cinta pandang pertama pada Dian.” Laju saja perkataan itu meluncur dari bibir Redza. Selaju tubuh Dian yang tiba-tiba limbung, sempat disambar oleh tangan kekar Redza.
~~~
PERIT mata Dian yang baru terbuka. Cahaya lampu menyuluh garang ke wajahnya. Setelah menyedari dia di sebuah bilik asing kepalanya terkilas ke kiri dan kanan. Dia di mana?
“Awak dah bangun, Dian?”
Redza masuk ke bilik sambil membawa sebotol air mineral.
“Minum dulu.”
“Saya kat mana?”
“Klinik. Awak pengsan tadi.”
Redza mengusap belakang tengkuknya gusar. Memerhatikan Dian yang sedang minum air mineral. Segan bila dia jadi penyebab Dian tak sedarkan diri. Ekstrem sangat ke pengakuan Redza sehingga Dian boleh pengsan?
“Saya dah boleh balik ke?”
“Boleh. Doktor cakap Dian cuma terkejut.”
Dian angguk. Cuba melarikan anak matanya daripada menatap wajah Redza. Malu kerana pengsan di hadapan Redza hanya
disebabkan pengakuan berani mati Redza. Pasti Redza fikir Dian seorang gadis yang lemah semangat. Dijentik oleh sebuah ucapan pun Dian sudah boleh tumbang. Redza tak tahu pengakuan Redza yang gila boleh menghentikan degupan jantung Dian.
“Jom saya hantar awak balik. Awak tinggal kat mana?”
“Hotel.”
Dian mengekori Redza dalam diam. Seharusnya dia menolak pelawaan Redza yang mahu menghantarnya pulang. Namun dipujuk hatinya. Lelaki itu kan, Redza? Dia hanya perlukan waktu sebentar cuma kerana sebentar itu sukar untuk diwujudkan.
Jarak klinik ke hotel penginapan Dian tak jauh mana. Bangunan hotel yang tersergam indah dipandang Redza. Redza tak yakin langsung Dian ke sini bersendirian.
“Siapa yang jadi kawan Dian di sini?”
“Kak long.”
Redza menghela nafas lega. Kak long bukankah bermaksud kakak? Jadi Dian ke sini dengan ahli keluarga, bukan dengan pasangan yang dicemburui Redza.
“Terima kasih.” Ucap Dian masih enggan memandang Redza.
“Dian.”
Lengan Dian disentuh.
“Boleh pandang saya sekejap?” Kalau Dian tak sudi dia akan paksa Dian pandang mukanya. Sekejap pun jadilah. Dia ingin menatap wajah Dian.
“Kenapa, Redza?” Dian memaksa mukanya berpaling menatap Redza. Semoga Redza tak perasan sendu di wajahnya. Lelah yang semakin menghakis semangatnya. Kaki yang seakan tak mahu berpijak di bumi yang nyata.
“Saya minta maaf.”
Dian menggeleng. Seribu kemaafan tak lagi berguna untuk satu kata yang telah dilafazkan.
“Saya serius dengan apa yang saya beritahu Dian tadi.” Dian ingin bertanya mengapa. Namun Dian juga tahu soalan itu
pun tak berguna. Tak membantu Dian mahupun Redza.
“Tak apalah. Mungkin awak masih keliru. Awak tak jelas dengan apa yang awak cakap.”
“Saya serius, Dian.”
Dian bekukan hati. Bibirnya dikemam.
“Saya kena balik bilik. Takut kak long risau.”
“Boleh bagi saya nombor Dian?”
“Nak buat apa?”
“Nanti senang kita nak berhubung.” Dian menggeleng. Enggan memberikan.
“Dian tak percayakan saya ke? Dian tak percaya saya serius dengan kata-kata saya?” Dian senyum. Segaris saja. Hati Dian yang hancur tak mampu tersenyum dengan lebar.
“Saya percayakan awak, Redza. Dengan kuasa ALLAH apa pun boleh jadi. Dia yang membolak-balikkan hati kita.” Tenang Dian menuturkan.
“Apa kata nanti esok kita jumpa dekat tempat biasa? Kalau memang kita berjodoh kita pasti akan jumpa lagi kan? Ke awak tak
percaya pada jodoh?”
“Tapi…”
“Awak tak percayakan saya?”
Redza menarik nafas panjang. Permintaan mudah Dian sukar untuk dilaksanakan.
“Bila?”
“Esok.”
Redza terpaksa mengangguk. Membiarkan langkah Dian yang longlai berlalu mencari kak long.
INTRO • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4
BELI NOVEL YANG KULUPA (PENULIS: AK RAFFHAN)