TABIAT! Setiap kali ke sini dia akan duduk di kerusi yang sama. Jika ada orang lain yang sudah duduk di kerusi itu Redza lebih rela tidak duduk. Redza sendiri tak mengerti mengapa hanya kerusi itu yang dituju, bukan kerusi lain yang banyak lagi terdapat di sini. Bagaikan ada kaitan memori antara Redza dan kerusi itu. Mungkin, tetapi Redza tidak tahu. Redza lupa pada segala-galanya.
Tegak dan tegap tubuhnya duduk di situ. Ternanti-nanti kemunculan Dian seperti yang telah dijanjikan. Dua jam sudah berlalu, Redza masih setia. Tak berganjak walau seinci. Seperti orang bodoh, tetapi dia memaksa dirinya supaya tidak berputus asa. Dian pasti akan muncul. Bukankah Dian sudah berjanji padanya? Keluhan dalam terlepas dari rengkungnya. Mengapa lewat sekali Dian datang? Ada masalahkah yang menghalang Dian datang cepat? Redza ada juga terfikir untuk ke hotel Dian menginap tetapi Redza bimbang sekiranya dia mencari Dian di sana, Dian pula datang ke sini untuk bertemunya. Sulit untuk Redza membuat pilihan sehingga akhirnya Redza memilih untuk percayakan Dian.
‘Kat mana awak, Dian?’
Mata Redza melingas-lingas di segenap taman. Seperti ada seseorang yang sedang memerhatikannya. Puas ditelek sehingga ke
celah pokok, dia tak nampak siapa pun yang dia kenal. Dah sampaikah Dian? Diankah yang membuat bulu kuduknya berdiri ketika ini? Tetapi di mana Dian? Redza tak dapat mengecam figura yang sama seperti Dian. Jika benar Dian sudah ada di sini,
kenapa Dian tak munculkan diri?
‘Awak kat mana, Dian?
Awak dah janji nak datang jumpa saya.
Saya percayakan awak. Awak tak mungkir janji kan?’
Mindanya begitu mendesak kehadiran Dian. Redza tidak tahu mengapa sikapnya semakin aneh. Perasaannya juga semakin gila. Perasaan ‘gila’ seperti ini sudah lama tidak dirasakan. Sejak mengenali Dian, perasaan Redza menjadi begitu huru-hara.
Sesuatu yang sudah lama mati dalam diri mulai bangkit.
“Anak muda…”
Redza memandang seorang lelaki separuh baya yang sedang berdiri tak jauh darinya. Lelaki itu sedang menatapnya.
“Hari nak hujan.” Seakan memahami fikiran Redza tak berpaksikan realiti, jarinya menunjuk langit. Gelap. Awan berarak semakin mendung, perlahan-lahan meliputi langit yang semakin hilang birunya.
Dejavu. Hatinya terasa semakin dekat dengan sesuatu yang gagal difahami Redza. Sebenarnya apa yang sedang dirasakan hatinya? Kenapa dadanya sesak, seakan diasak gambaran-gambaran wajah yang tak begitu jelas. Yang sedang berputar aneh di ruangan mindanya, siapa dan apa?
“Abang Redza!”
Bluwek! Lidah menjulur. Bunyi ketawa yang begitu membahagiakan.
“Cepatlah kejar!”
Redza memejam celik matanya. Apa yang sedang dia lihat? Dia tidak bermimpi bukan? Dia masih terjaga. Dipandang sekilas, mencari sesusuk tubuh lelaki yang menegurnya sebentar tadi. Ternyata lelaki itu sudah tiada. Dia sendirian.
“Abang… Aduh!”
“Dian!”
Dada Redza berombak kencang. Dia berlari ke situ, mencari kelibat yang bermain-main tak jauh daripada pandangan. Sesampainya di situ dia menangkap bayang. Tiada sesiapa pun yang berada di situ. Tiada gadis yang jatuh kerana melarikan diri daripada dikejar. Redza diserang panik. Mencari-cari di sekeliling tanpa diketahui dia mencari apa. Langkah yang laju bertukar menjadi larian.
“Dian!” Rengkungnya meneriakkan nama Dian.
Semakin jelas dia ternampak figura seseorang yang tak ubah seperti Dian.
“Dian!” Semakin dikejar semakin jauh Redza ditinggalkan. Sedikit pun Dian tak menoleh ke belakang.
“Jangan tinggalkan abang, Dian. Tolong abang.” Suaranya semakin lirih. Bunyi hujan bersatu dengan guruh. Dia sudah sampai ke luar pagar taman yang semakin sepi. Hanya tinggal keretanya yang terparkir di situ. Tiada Dian mahupun orang lain yang tadi berpusu-pusu berlari meninggalkan taman kerana desakan tidak mahu basah ditimpa hujan.
“Abang!”
“Dian!”
Redza mencari lagi. Di sebalik hujan yang semakin lebat pandangan Redza kian berbalam. Kilasan-kilasan puzzle memori yang telah terpecah dan cuba dicantumkan muncul satu-satu di mindanya. Lutut Redza semakin goyah. Melorot jatuh serentak dengan telinganya yang berdengung. Kepalanya seperti mahu ikut pecah. Belum sempat tubuhnya mencecah tanah sepasang tangan menyambut tubuhnya.
“Abang…” Hanya esakan yang sempat didengar Redza.
~~~
“SIAPA yang jumpa dia?”
Geleng.
“Apa dia buat kat situ?”
Geleng juga.
“Sejak bila dia selalu ke situ?”
“Dia memang selalu ke situ. Lepas dia sembuh taman tu memang jadi tempat favourite dia lepak sorang-sorang.” Penjelasan itu belum cukup memuaskan hati Datuk Murad. Redza bukan kanak-kanak lagi. Redza tahu bezakan mana baik dan mana
buruk. Redza tahu petanda hari nak hujan. Tak perlu mama berteriak marah, Redza patut sedar hujan bukanlah sesuatu yang boleh Redza jadikan sahabat. Boleh dikatakan Redza berseteru dengan hujan. Redza tidak begitu sukakan hujan. Semua orang tahu. Papa, mama, Elina dan Erina. Tiada yang terkecuali termasuk suami Elina yang merupakan kawan baik Redza.
“Siapa hantar Redza ke sini, doktor?”
“Kami tak tahu. Kami gagal kesan identiti orang yang hantar Encik Redza ke hospital. Dia pergi lepas tinggalkan Encik Redza di hospital sebelum sempat saya jumpa dengan dia.”
“Lelaki atau perempuan?” Datuk Murad tak sabar. Dia perlu tahu siapa yang menghantar anaknya ke hospital.
“Nurse, awak sempat tengok tak orang yang hantar Encik Redza tadi? Lelaki atau perempuan?”
Jururawat di sebelah doktor lelaki separuh baya itu tampak berfikir. Mengingat kembali seraut wajah lembut yang tampak begitu risaukan keadaan Redza. Dengan tubuh dan baju yang basah kuyup dari hujung kaki sehingga ke hujung tudung. Lencun wajahnya bukan disebabkan air hujan yang sedang menderu, tetapi dek air mata yang tak dapat dikawal.
“Perempuan, doktor.”
“Nama dia?”
“Saya tak sempat tanya. Dia tergesa-gesa pergi walaupun kami terjerit-jerit meminta dia tunggu sekejap.”
Doktor Asmadi memandang Datuk Murad. Penjelasan Jururawat Aina jelas sebutir-sebutir, mampu didengar seluruh ahli keluarga Datuk Murad.
“Pa…”
Elina mencengkam lengan Datuk Murad sebaik saja Doktor Asmadi meninggalkan bilik VIP yang menjadi ruang inap Redza.
“Kenapa El?”
Muka Elina begitu cemas. Menimbulkan rasa khuatir di hati Datuk Murad. Elina berkalih memandang Redza yang terlantar di atas katil. Mata Redza terpejam rapat. Sesekali kerutan di dahi Redza begitu jelas, tampak berlapis-lapis.
“Kenapa El?”
Elina menggeleng. Tak jadi menyuarakan kebimbangan yang bersarang di hati. Lengan Datuk Murad dilepaskan. Mama di sebelah katil Redza diam tanpa suara. Merenung muka Redza sambil menggenggam erat jemari Redza, satu-satunya keturunan lelaki dalam keluarga mereka. Tanpa disedari mama dan papa, Elina menggamit suaminya dan Erina. Mereka keluar senyap-senyap dari bilik itu. Mencari tempat yang lebih sesuai untuk mencari jalan meleraikan kusut yang sedang
membelenggu Redza.
INTRO • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4
BELI NOVEL YANG KULUPA (PENULIS: AK RAFFHAN)