KHUSYUK nampak?”
Elina cuba mengintai. Mencari tahu perkara yang menarik minat si adik. Ralit sungguh menatap skrin telefon sehinggakan dia beri salam pun tak berjawab.
“Hah?”
Cuak dan terkejut. Bergegas telefon disorokkan di bawah paha. Elina angkat kening. Pelik melihat reaksi Redza. Tak pernah
Redza sembunyikan apa-apa daripada pengetahuannya.
“Tengok porno?”
“Oit! Jangan sembarangan tuduh.” Elina terkekeh kecil. Dia duduk di sebelah Redza.
“Mana tahu. Terapi untuk lelaki bujang terlajak.” Mata Redza mencerlung. Mulut Erina bukan main celopar lagi. Mentang-mentang dia dah tak jadi anak dara tua, seronok pula dia memerli Redza yang bujang.
“Laki Kak El mana?”
“Ada. Kak El sumbat dalam beg.” Beg tangan ditepuk-tepuk. Senyum geli hati melihat riak wajah Redza. Geramlah tu! Redza ketap bibir.
“Kak El ni kalau…”
“Dah, tak payah nak tukar topik. Dia dekat ofislah. Hari ni kerja kan. Kenapa tak masuk ofis? Dengar kata sakit.” Tangan Elena merayap ke dahi Redza. “Okey je Kak El tengok. Tak panas. Segar- bugar. Boleh main telefon. Curi tulang eh?”
Redza menolak tangan Elena di dahinya.
“Orang sakit tak semestinya demam.”
Elena mengangguk. Sakit hati pun sakit juga. Tak perlu jumpa doktor, takkan diberikan sijil cuti sakit.
“Kenapa? Sakit kepala? Sakit hati? Patah hati?”
Redza tidak menjawab. Wajah Elina, kakak kesayangannya direnung bagaikan ada sesuatu yang boleh dibaca di situ. Agaknya
kalau dia tanya, adakah Elina akan menjawab dengan jujur?
“Kenapa pandang Kak El macam tu?”
“Kalau Redza tanya, Kak El boleh jawab dengan jujur tak?”
“Apa kes ni? Nak tanya pasal apa?”
Redza tarik nafas, kemudian dilepas perlahan.
“Sepanjang tiga tahun ingatan Redza hilang ni, ada tak sesiapa yang Redza dah lupakan? Orang yang sepatutnya Redza ingat tapi Redza lupa. Ada tak?”
Elina tiba-tiba diserang gemuruh. Elok saja suasana selesa dan santai, dia jadi berpeluh. Kenapa Redza tiba-tiba berminat dengan masa silamnya? Bertanyakan tentang siapa yang dilupakan?
Elina gelak. Cuba sembunyikan perasaan gugup daripada pengetahuan Redza.
“Siapa pulak yang Redza lupa?”
“Hurmmm, kawan? Girlfriend mungkin. Redza ada girlfriend tak?”
Tawa Elina semakin kuat.
“Peliknya! Dah tiga tahun baru nak tanya. Kalau ada pun girlfriend Redza tu mesti dah bawa diri. Kecewa sebab bukan saja
dilupakan tapi tak dipedulikan juga.”
Redza tak rasa hal itu lucu. Tiga tahun yang lalu selepas dia sedar daripada koma, banyak hal yang telah dilupakan. Dia langsung tak ingat pada sesiapa hatta ahli keluarganya sendiri. Keluarganyalah yang bersusah payah cuba mengembalikan memori yang telah hilang tetapi mereka tidak pernah berjaya.
Selepas tiga tahun masih banyak perkara yang tidak dapat diingat Redza. Lantaran putus asa dan tidak tahu apa yang perlu diingat dia mengambil keputusan untuk mencipta memori baru. Menguburkan terus ingatan yang telah hilang daripada memorinya. Jujur hal itu sangat sukar dilakukan kerana pada awalnya dia begitu berkeras untuk mengingat. Dia kerap mimpikan seseorang yang tidak berwajah. Sehingga kini dia tidak tahu siapa yang muncul dalam mimpinya. Mimpi sekadar mainan tidur atau mimpi yang bermaksud cuba mengingatkan Redza akan seseorang yang mungkin memerlukan
perhatiannya.
“Seriuslah, Kak El.”
“Hai, Kak El seriuslah ni. Tak ada orang lain lagi yang patut Redza ingat. Redza mana ada girlfriend. Siapa yang nak lelaki kejung beku macam Redza ni kan?” Sempat lagi Erina memerli.
Redza tak berasa tersindir.
“Hurm.” Muka Redza nampak tak puas hati. Sebelum ini pun dia tak pernah jatuh cinta? Sekeras apa hatinya sehingga tiada seorang pun yang mampu menawan hatinya? Dia terlalu memilih? Dia tak rasa begitu. Sehingga saat ini pun tiada kriteria tertentu diletakkan dalam mencari pasangan hidup. Dia hanya mahukan wanita yang boleh dicintai dan mencintai dirinya
dengan tulus. Tanpa melihat pada status seorang lelaki bernama Nuqman Redza. Dalam ramai-ramai, seorang pun tak mampu membuat Redza berpaling kepada mereka?
“Ada lagi ke yang tak puas hati? Serius, Redza tak ada kekasih! Nak sumpah atas nama ALLAH ke?” Muka Elina serius. Janganlah Redza buat perangai budak-budak, suruh juga Elina bersumpah. Redza diam, tampak berfikir. Elina ingat Redza sudah percaya.
Namun…
“Siapa Dian, Kak El?”
“Siapa?” Elina harap dia salah dengar.
“Kak El kenal tak sesiapa yang nama Dian? Redza pernah kenal perempuan nama Dian?”
Elina pegun. Di mana Redza mendengar nama itu?
“Ada ke Kak El? Nama Dian mengganggu fikiran Redza. Dada Redza sakit setiap kali Redza fikir tentang gadis yang bernama Dian. Sesak sangat. Rasa macam nak mati.”
“Redza!” Terkejut Elina mendengar kata-kata Redza. Sejauh itu Redza merasakan. Mati? Oh, jangan sebut lagi Redza. Redza perlu hidup dan bahagia.
“Redza bukan nak buat perkara tak elok Kak El. Redza beritahu apa yang Redza rasa setiap kali Redza fikir atau sebut nama Dian. Kak El rasa Redza ada sakit jantung ke? Jantung ni pelik sakit. Sekarang ni cuba Kak El rasa…” Tangan Elina ditarik lalu diletakkan ke dada. Biar Elina turut merasakan apa yang dirasakan hati Redza. Betapa keras degupan jantung Redza.
“Laju sangat,” ujar Elina.
“Sekarang Kak El dah percaya kan? Redza tak tipu!”
Elina angguk. Hilang kata.
“Siapa Dian?”
Elina telan air liur.
Siapa Dian…
“Redza ada jumpa perempuan nama Dian ke?”
Redza angguk.
“Masa mula-mula tengok Dian lagi jantung Redza dah mula tak tentu arah. She just an ordinary girl. Tapi mata Redza nampak Dian macam bidadari Redza yang dah lama hilang. Redza rasa Redza jatuh cinta pandang pertama pada Dian, Kak El.” Redza gelak. Tak lucu pun tetapi dia tetap ketawa. Ketawakan diri sendiri kerana jatuh cinta pada gadis asing yang tidak dikenali. Hanya diketahui namanya Dian.
“Am I crazy?”
Elina senyum. Mencari ayat yang sesuai untuk meringankan beban di hati Redza.
“Cinta tu boleh hadir bila-bila masa, pada sesiapa aje. Jangan ingat Redza gila bila Redza jatuh cinta pada orang yang Redza tak pernah kenal. Hati kita milik ALLAH. Kalau DIA izinkan kita boleh jatuh cinta pada sesiapa saja.”
“Am I really falling in love with her?”
“Tanya hati Redza. Hati pasti tahu…”
Redza tampak berfikir. Larut dalam fikiran yang semakin jauh terperosok. Elina merenung Redza, berharap dia mampu hentikan segala ingatan Redza. Segala tentang perasaan yang barusan diceritakan Redza. Menjauh daripada Redza. Perasaan yang disembunyikan sejak pertama kali mendengar nama Dian tewas jua. Air matanya mengalir laju. Menggigil tangannya mencari telefon. Deringan pertama taliannya terus dijawab. Esakannya tertahan-tahan. Agak sukar meluahkan kata.
“Kak El?”
INTRO • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4
BELI NOVEL YANG KULUPA (PENULIS: AK RAFFHAN)